Wanita Patah Kaki Kemalangan Meninggal Dunia

IMG_1548

Kenderaan terbabit kemalangan di kilometer 345.1, LPT2, dekat Paka yang menyebabkan seorang wanita putus kaki kiri pada 5 Jun 2026. Foto JBPM

DUNGUN, 6 Jun – Wanita yang cedera termasuk putus kaki kiri dalam kemalangan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, di sini semalam disahkan meninggal dunia malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh berkata polis menerima laporan mangsa, Maziah Che Hassan, 57, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Dungun pada 7.15 malam.

Beliau berkata mangsa yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 bersama empat individu lain terbabit dalam kemalangan itu pada jam 5.15 petang ketika dalam perjalanan menghala Kuantan, Pahang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Kenderaan terbabit kemalangan di kilometer 345.1, LPT2, dekat Paka yang menyebabkan seorang wanita putus kaki kiri pada 5 Jun 2026. Foto JBPM

“Pemandu kenderaan dipercayai terlelap semasa memandu menyebabkan ia hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum melanggar penghadang jalan.

“Akibat pelanggaran, kenderaan berpusing beberapa kali dan tersangkut pada penghadang jalan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu serta tiga lagi penumpang yang turut mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web