Wangsa Maju Bergema! KULFIT, Lai Chen Heng Semarakkan Hari Kebangsaan Penuh Bertenaga

Program ini mendapat sokongan padu penaja utamanya, bekas Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng, yang konsisten memperkasakan inisiatif Komuniti DBKL. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 24 Ogos – Hening awal pagi di ibu negara tiba-tiba dikejutkan dengan sorakan semangat patriotisme luar biasa apabila program kecergasan popular KULFIT meledakkan semangat Hari Kebangsaan secara serentak di 11 taman rekreasi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tumpuan utama di Taman Tasik Danau Kota menyaksikan lautan warga kota pelbagai kaum berhimpun dalam atmosfera meriah, menyatukan gaya hidup sihat dengan rasa cinta mendalam terhadap tanah air.

Kejayaan program edisi khas ini turut didorong oleh sokongan padu penaja utamanya, bekas Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng, yang konsisten memperkasakan inisiatif Komuniti DBKL.
Tapak program bergema hebat dengan alunan irama ceria menerusi sesi senamrobik khas merdeka serta peragaan fesyen patriotik yang mencuri tumpuan.

Keterujaan penonton memuncak apabila pempengaruh Zumba terkenal, Adza Tuty, bersama kumpulan Jojo Sisters Linedance mengambil alih pentas dengan persembahan bertenaga yang menceriakan suasana.
Suasana bertambah gamat apabila sesi cabutan bertuah yang ditunggu-tunggu disempurnakan dengan penuh ceria oleh Pn. Ivy Teoh daripada Jojo Linedance.

Mengulas mengenai penganjuran bertenaga itu, Lai Chen Heng berkata, penglibatan aktif rakyat adalah lambang denyut nadi negara yang merdeka.
“Santuni Hari Kebangsaan adalah satu kewajipan sebagai seorang warganegara. Saya amat gembira melihat warga setempat memanfaatkan Taman Danau Kota dengan gaya hidup yang sihat dan cergas, dan pada masa yang sama menyantuni semangat kepelbagaian.

”Saya berharap taman ini dapat dikongsi bersama. Sekiranya ada kumpulan tarian, beri laluan kepada mereka yang ingin menikmati keindahan taman.
“Tahniah kepada KULFIT yang amat konsisten menjayakan inisiatif DBKL!” jelasnya.

Sementara itu, Pn. Ivy Teoh turut melahirkan rasa teruja dan kagum melihat transformasi ketara landskap rekreasi di ibu kota hasil sentuhan dan perancangan teliti pihak berkuasa tempatan.
“Saya sendiri juga pengguna taman dan telah melihat taman ini berkembang daripada kurang pengguna sehingga sekarang begitu aktif. Terima kasih DBKL. Ini adalah Hari Kebangsaan yang amat menggembirakan!” ujarnya.

Penganjuran berskala besar ini bukan sekadar wadah kecergasan fizikal, malah menjadi platform terbaik memperkukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian komuniti akar umbi di Kuala Lumpur.
Oleh Lai Chen Heng
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
