Walaupun Putin Dijangka Kekal Berkuasa Tapi…

MOSCOW, 19 Sep – Parti pimpinan Presiden Russia, Vladimir Putin, dijangka mengekalkan kedudukan majoriti di Parlimen selepas proses mengundi tiga hari sempena pilihan raya umum melabuhkan tirai hari ini.

Jangkaan itu semakin jelas apabila kebanyakan pengkritik Kremlin dilarang daripada bertanding manakala kebanyakan pihak pembangkang sudah ‘dibeli’ pihak lawan.

Pilihan raya itu diadakan sebagai suara kebangkitan susulan tindakan keras terhadap parti pembangkang selepas pihak berkuasa Russia memenjarakan musuh tradisi Putin, Alexei Navalny, dan mengisytiharkan pertubuhannya sebagai pengganas.

Dalam pemilihan hujung minggu itu, semua seteru utama Putih ditahan atau melarikan diri dari negara itu, malah mana-mana pihak yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan dilarang mencalonkan diri dalam pemilihan Parlimen.

Dalam pada itu, pengundian yang dijadualkan ditutup jam 8 malam ini (waktu tempatan), dicemarkan dengan tuntutan penapisan maklumat dan pembuangan kertas undi palsu.

Ketika proses pengundian bermula Jumaat lalu, Apple dan Google menimbulkan kekecohan dalam kalangan pembangkang Russia apabila mengeluarkan aplikasi ‘undian pintar’ yang menjadi panduan memilih calon.

Aplikasi itu diperkenalkan selepas Kremlin menggunakan taktik kotor meletakkan calon dengan nama hampir sama dan penampilan mirip kepada calon pembangkang bagi mengabui pilihan pengundi.

Justeru, aplikasi itu diperkenalkan oleh Navalny bagi menunjukkan kepada penyokong calon mana yang harus mereka sokong untuk mengalahkan penyokong Putin.

Menurut sumber yang rapat dengan Google and Apple, keputusan menghentikan aplikasi itu dilakukan selepas menerima tekanan pihak berkuasa Russia termasuk ancaman menahan kakitangan tempatan syarikat gergasi teknologi itu.

Lewat Jumaat pula, aplikasi Telegram mengeluarkan bot ‘undian pintar’ Navalny dan hari ini, Google Docs dan video YouTube mengandungi senarai calon yang disyorkan turut disekat.

Pasukan Navalny mendakwa Google akur dengan tuntutan dibuat pihak berkuasa media Russia, Roskomnadzor.

Dalam ‘kempen’ terakhirnya kepada pengundi dari sebalik tirai besi, Navalny menulis di Instagram bahawa hari ini adalah detik di mana suara rakyat benar-benar penting.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Russia, jumlah yang keluar mengundi adalah 35 peratus.

Sementara itu, media sosial Russia dibanjiri dengan aduan mengenai halangan kertas undi dan anggota tentera yang melakukan rondaan di tempat mengundi.

Malah, pengkritik mendakwa undian dalam talian yang mengehadkan pemantauan pemerhati bebas proses pilihan raya selain tempoh pengundian selama tiga hari meningkatkan risiko berlaku penipuan.

Sehingga awal pagi tadi, pihak pemantau pilihan raya bebas, Golos, yang dilabelkan pihak berkuasa sebagai ejen luar, mengenal pasti 3,600 laporan salah laku dan penyelewengan pengundian.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Russia, Ella Pamfilova mengesahkan pihaknya menerima 137 laporan mengenai kesalahan kertas undi.

– AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *