Video Tular Kereta Hilang Kawalan, Pedal Minyak Ditekan Berlebihan Punca Kemalangan

IMG_2078

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah Toyota Almera terbabas sebelum melanggar sebuah Honda Civic dan pagar di tepi Jalan Tun Razak pada 16 Jun 2026. Foto Tular

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Tindakan seorang pemandu dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga gagal mengawal kenderaan mengakibatkan kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Tun Razak, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan kira-kira jam 8 malam itu membabitkan Toyota Almera dipandu lelaki berusia 28 tahun dan Honda Civic dipandu lelaki tempatan 29 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu Toyota Almera dalam perjalanan dari arah Jalan Tun Razak menuju ke Jalan Sultan Yahya Petra.

“Ketika memasuki simpang ke Jalan Sultan Yahya Petra, pemandu dipercayai menekan pedal minyak secara berlebihan sehingga gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebuah Honda Civic serta pagar di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan ke atas kedua-dua pemandu yang terbabit.

Katanya, hasil ujian saringan alkohol dan saringan air kencing ke atas pemandu Toyota Almera mendapati bacaan adalah negatif.

“Antara tindakan yang diambil polis adalah lawatan ke lokasi kejadian, permohonan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mengambil gambar kerosakan kenderaan serta merakam percakapan kedua-dua pemandu yang terbabit,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular video di aplikasi Threads memaparkan sebuah kereta hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar kenderaan lain di Jalan Tun Razak.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web