Usah Tumpu Pembangunan Fizikal, Perlu Terap Nilai Kemanusiaan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 di Dewan Sivik, Petaling Jaya pada 4 November 2026. Foto DBKL
PETALING JAYA, 4 Nov – Mana-mana projek pembangunan bandar tidak sepatutnya mengetepikan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat agar setiap perancangan yang dilaksanakan memberi kehidupan lebih berkualiti.
Ini selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang diterap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kemampanan dan ihsan sebagai antara agenda utama gagasan itu.
Perdana Menteri berkata, kecekapan dan prestasi tinggi ditampilkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) boleh dicontohi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dalam merancang dan melestarikan kawasan agar tidak hanya tertumpu kepada kemegahan struktur fizikal semata-mata.

“Bila kita bicara soal perancangan fizikal dan bandar, ini soal kehidupan, soal manusiawi, soal terkait dengan keyakinan kita dalam agama, dalam nilai, dalam akhlak.
“Kadang-kadang kita datang kerja, pulang, kita lupa bahawa sebenarnya pembangunan kota itu pembangunan insan, pembangunan manusia, pembangunan yang membantu menegakkan iman dan akhlak kita jadi prinsip kemanusiaan terus ada,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan perkara itu ketika merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta timbalan menteri KPKT, Aiman Athirah Sabu.
Anwar turut menyaksikan gimik pelancaran serta menyampaikan anugerah kepada para pemenang kategori bagi tahun ini.
Antaranya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pembangunan bandar mampan apabila berjaya menerima dua (2) pengiktirafan berprestij daripada Perdana Menteri, menunjukkan PBT itu di landasan terbaik memastikan ibu negara terus berdaya huni dan lestari.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
