Universiti Malaya Ketiga Terbaik Di Asia Tenggara, Ke-17 Asia

UM kekal di tempat ketiga terbaik di Asia Tenggara dan nombor satu di Malaysia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai universiti terunggul negara. Foto UM
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Universiti Malaya (UM) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti terkemuka di Asia apabila menduduki tangga ke-17 dalam QS Asia University Rankings 2027.
Selain itu, UM turut menerima anugerah berprestij Global Engagement Champions Award sebagai pengiktirafan terhadap pengaruh antarabangsa serta jaringan kerjasama globalnya yang semakin berkembang.
Kedudukan terbaharu itu meletakkan UM di tempat ketiga terbaik di Asia Tenggara dan nombor satu di Malaysia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai universiti terunggul negara dalam persaingan pendidikan tinggi yang semakin sengit di rantau ini.
UM turut mengekalkan kedudukannya dalam kelompok satu peratus universiti terbaik di Asia, mengatasi kira-kira 99 peratus daripada keseluruhan 1,726 institusi yang disenaraikan dalam penarafan tahun ini, berbanding 1,526 institusi pada edisi sebelumnya.
Pencapaian itu mencerminkan daya saing UM yang berterusan dalam landskap pendidikan tinggi Asia yang semakin dinamik, didorong reputasi akademik kukuh, jaringan penyelidikan antarabangsa serta penglibatan globalnya.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, pengiktirafan berganda itu membuktikan kedudukan global universiti berkenaan yang semakin menyerlah, selain komitmennya terhadap kecemerlangan yang melangkaui pencapaian dalam penarafan.

“Landskap pendidikan tinggi Asia sedang memasuki era baharu yang menyaksikan persaingan sengit untuk mendapatkan bakat, idea, inovasi dan kepimpinan intelektual. Justeru, mengekalkan kedudukan dalam kelompok 20 universiti terbaik Asia bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian semasa, tetapi peringatan penting mengenai sejauh mana lagi kita perlu melangkah.
“Anugerah Global Engagement Champions turut membawa mesej yang sama penting, iaitu UM bukan sekadar perlu mempunyai hubungan dengan dunia, malah perlu menjadi antara institusi yang membantu membentuk masa depannya,” katanya.
Noor Azuan menambah, kepimpinan global sebenar tidak diukur berdasarkan jumlah kerjasama antarabangsa yang diwujudkan, sebaliknya melalui kedalaman ilmu yang dihasilkan, penerokaan baharu dalam bidang penyelidikan serta impak yang dibawa merentasi sempadan negara.
“Kekuatan kita terletak pada keupayaan menghimpunkan pemikir terbaik, menterjemahkan kerjasama antarabangsa kepada penemuan bermakna dan memastikan hasil keilmuan Malaysia mendapat pengiktirafan serta pengaruh di peringkat global.
“Pengiktirafan ini adalah milik seluruh warga UM yang terus berganding bahu memperluas pencapaian universiti ke tahap lebih tinggi,” ujar beliau.
Noor Azuan menambah, hasrat UM untuk menempatkan kedudukannya dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia bukan sekadar mengejar kedudukan dalam penarafan.

Sebaliknya, ia mencerminkan tekad untuk membina sebuah institusi yang mampu menentukan hala tuju masa depan ilmu, teknologi dan kemajuan manusia di peringkat global.
“Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi penerima idea dan penemuan terbaik dunia, sebaliknya perlu menjadi negara yang mencipta serta menerajui kemajuan tersebut.
“UM berhasrat berada di barisan hadapan dalam transformasi itu melalui usaha melahirkan pemimpin masa depan, memacu penemuan yang memberi manfaat dan membina legasi intelektual Malaysia yang berkekalan di persada dunia,” katanya.
UM turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa indikator utama apabila memperoleh markah penuh 100 bagi Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Pelajar Pertukaran Masuk dan Nisbah Pelajar Antarabangsa.
Universiti itu juga mencatatkan markah hampir penuh, iaitu 99.9 bagi Jaringan Penyelidikan Antarabangsa, Nisbah Staf Akademik Antarabangsa dan Pelajar Pertukaran Keluar, sekali gus mencerminkan jaringan antarabangsa, kedudukan akademik serta daya tarikannya kepada bakat global.
Mengukuhkan lagi pencapaian di peringkat serantau, UM turut dipilih sebagai penerima Global Engagement Champions Award yang diumumkan sempena QS Higher Ed Summit: Asia Pacific 2026, berlangsung dari 3 hingga 5 November di Bali, Indonesia.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen UM dalam membina kerjasama antarabangsa yang bermakna, memperluas mobiliti akademik serta memperkukuh kerjasama penyelidikan rentas sempadan yang menghubungkan kepakaran Malaysia dengan komuniti ilmu global.
Pengiktirafan terbaharu di peringkat serantau itu menyusuli satu lagi pencapaian penting UM dalam QS World University Rankings 2027 apabila universiti berkenaan melonjak ke kedudukan ke-56 dunia, iaitu pencapaian tertinggi setakat ini, sekali gus memperkukuh kehadiran Malaysia dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa.
Dalam meneruskan usaha mencapai sasaran 50 universiti terbaik dunia, UM kekal memberi tumpuan kepada penyelidikan berimpak tinggi, peningkatan kebolehpasaran graduan, pengukuhan kerjasama strategik antarabangsa serta pemacuan inovasi dan kelestarian.
Bagi UM, pencapaian terbaharu itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap kedudukannya ketika ini, malah menjadi asas lebih kukuh untuk merealisasikan hasrat membentuk masa depan pendidikan tinggi di Asia dan peringkat global.
Oleh Wartawan MG
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web




