Ungkapan ‘Maha-thir’ Seloroh PM Anwar Gamatkan Dewan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh menjawab ungkapan ‘maha’ membuatkan Dewan Rakyat ketawa semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan hari ini. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 2 Nov – Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini berakhir dengan gelak ketawa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan ‘kelas’ pembelajaran tatabahasa Melayu, bermula dengan istilah ‘maha’ sehingga menyebut perkataan ‘maha-thir’.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika itu menyentuh istilah ‘mahakaya’ namun isitilahnya dipertikai dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang kononnya ia tidak boleh digunakan bagi merujuk golongan yang terlalu kaya.
Ini kerana, kata mereka, perkataan ‘maha’ adalah penggunaan khusus yang merujuk kepada Tuhan dan institusi diraja sahaja.
Bagaimanapun, Anwar berkata, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana terdapat beberapa perkataan lain menggunakan awalan suku kata ‘maha’ dan tidak memberi sebarang kesan.
“Ini soal tatabahasa sedikit. Mahasiswa? Boleh pula? Ada lagi istilah…maha-thir?
“Sebab (pembangkang) kata tidak boleh, ini hukum, hanya kepada Allah SWT, maha suci, atau paling tidak pun maha mulia hanya kepada sultan, tidak boleh.

“Ini mahasiswa boleh, mahaguru boleh, mahawangsa boleh. Ini kena belajar bahasa sedikit,” selorohnya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan selambanya itu membuatkan seluruh ahli Dewan ketawa.
Meskipun tidak merujuk secara khusus nama seseorang individu, bagaimanapun, perkataan itu dikaitkan dengan seorang individu yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian menjawab pertikaian dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Setar daripada Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mempertikai penggunaan ungkapan ‘mahakaya’.
Anwar terdahulu menjelaskan, beliau bukan menentang golongan mahakaya, bagaimanapun, kumpulan itu tidak seharusnya menerima subsidi seperti golongan pendapatan lain.
“Mahakaya kerana kategori ini tidak boleh dapat sedekah dan subsidi. Itu sahaja, bukan sebab kita marah sebab dia kaya.
“Kita kata program subsidi diesel, minyak masak, dan ayam yang dapat manfaat pun golongan kaya. Jadi kita mahu elak daripada berlaku,” katanya.
Begitu sahaja Anwar ‘sekolahkan’ ahli parlimen yang kononnya mahu menjadi jaguh bahasa dengan menyalahkan istilah yang digunakan Anwar tetapi dilihat cukup bebal apabila dimalukan sendiri di hadapan rakyat yang menonton siaran langsung itu petang tadi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
