Umat Islam Diseru Hayati Semangat Hijrah Nabi Muhammad SAW – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H peringkat antarabangsa Syeikh Ali Al-Qaradagi pada Majlis Ilmu MADANI di Seri Perdana Putrajaya pada Rabu. Foto Facebook YADIM

PUTRAJAYA, 10 Jul – Umat Islam di negara ini diseru untuk menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW dalam usaha membebaskan diri daripada budaya syirik, zalim, penindasan dan kejahilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia perlu bagi mendorong setiap insan melakukan perubahan ke arah yang lebih baik

“Hijrah Nabi SAW itu bermakna pergerakan masyarakat yang dinamik, meninggalkan budaya syirik, zalim, penindasan, kejahilan… sesuatu budaya baharu, negara baru dengan sistem akidah, keyakinan baru, pemikiran baru, budaya baru, sistem kemasyarakatan yang baru.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penghayatan itu amat bermakna bagi mengubah diri umat Islam ke arah budaya baharu, akidah baharu, keyakinan dan pemikiran baharu serta sistem kemasyarakatan yang baharu. Foto RTM

“(Selain itu) meninggalkan fahaman kabilah yang sempit, fahaman perkauman yang sempit, ketaksuban… tetapi memilih pencerahan, ilmu dan kefahaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H/2024M di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.

Dua tokoh berkenaan ialah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan, Datuk Seri Hassan Ahmad dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa, Profesor Dr Ali Muhyiddin atau lebih dikenali sebagai Sheikh Ali Al-Qaradaghi.

Pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M yang bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI” baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada bekas Mufti Pulau Pinang dan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Tokoh Maal Hijrah 1446H peringkat kebangsaan Datuk Seri Hassan Ahmad pada Majlis Ilmu MADANI di Seri Perdana Putrajaya pada Rabu. Foto Facebook YADIM

Sementara itu, Hassan menasihati umat Islam supaya meninggalkan perkara yang bertentangan dengan ajaran dan perintah Allah bagi mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

“Lima perkara iaitu masa, tempat, anggota badan, malaikat dan harta benda akan jadi saksi di akhirat. Dan kita perlu sentiasa beringat serta berbaik-baik sesama manusia,” katanya.

Sheikh Ali Al-Qaradaghi pula memuji konsep Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Anwar dengan menyifatkan ia sebagai suatu konsep pemerintahan yang matang dan adil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan cenderahati kepada Tokoh Maal Hijrah 1446H peringkat antarabangsa Syeikh Ali Al-Qaradagi pada Majlis Ilmu MADANI di Seri Perdana Putrajaya pada Rabu. Foto Facebook YADIM

“Konsep MADANI yang diperkenalkan di Malaysia merupakan suatu keaslian yang melawan kemunduran dan membentuk kehidupan bersistem,” katanya.

Majlis itu dihadiri kira-kira 150 tetamu yang merupakan wakil daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Himpunan Mahasiswa Islam, Pelajar Islam Indonesia dan Persatuan Muslim Muda Thailand (YMAT).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *