Tujuh Migran Dalam Bot Getah Maut Menuju Ke Pulau

B98A6B67-BABB-48CE-A59E-AC3AB52AFACC

Perkhidmatan Penyelamat Maritim Sepanyol, Salvamento Marítimo memaklumkan, bot yang membawa 132 individu itu dipintas sebuah kapal penyelamat pada awal pagi 2 November 2026. Foto EFE

MADRID, 2 Nov – Tujuh migran dipercayai maut ketika dalam perjalanan menaiki bot getah menuju ke Kepulauan Canary, Sepanyol, menurut pihak penyelamat maritim negara itu pada Isnin.

Dua mayat ditemukan di dalam bot berkenaan, manakala lima lagi migran dilaporkan meninggal dunia ketika pelayaran sebelum mayat mereka dicampakkan ke laut.

Perkhidmatan Penyelamat Maritim Sepanyol, Salvamento Marítimo memaklumkan, bot yang membawa 132 individu itu dipintas sebuah kapal penyelamat pada awal Isnin.

Bot berkenaan membawa 120 lelaki dan 12 wanita sebelum dibawa ke pelabuhan Arrecife, di pulau Lanzarote.

Presiden kerajaan wilayah Kepulauan Canary, Fernando Clavijo menerusi platform X menyuarakan kebimbangan terhadap tragedi berkenaan, sambil menggesa kerajaan pusat menambah sumber bagi menangani krisis kemanusiaan itu.

Dalam perkembangan berasingan, sebuah lagi bot yang membawa 59 individu diselamatkan pada awal Isnin, manakala 107 migran dari Afrika sub-Sahara, termasuk tiga kanak-kanak, dibawa dengan selamat ke pulau El Hierro pada malam Ahad.

Kepulauan Canary merupakan antara laluan utama migran memasuki Eropah bagi mereka yang melarikan diri daripada kemiskinan, konflik dan penganiayaan.

Perjalanan jauh dari Afrika Barat merentasi Lautan Atlantik amat berbahaya berikutan arus deras serta penggunaan bot yang uzur dan membawa penumpang melebihi kapasiti.

Ketibaan migran ke kepulauan itu mencatat kemuncak pada 2024 dengan lebih 46,000 orang, sebelum menurun susulan kawalan rondaan yang lebih ketat serta kerjasama dengan negara asal dan negara transit. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *