Tuan Rumah GP Bahrain Di Sepang: Platform Awal Kembalinya Malaysia Ke Kalendar F1?
Kemampuan Malaysia menganjurkan F1 tidak dapat disangkal lagi dan kini terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai kemampuan kewangan negara pula bagi menganjurkannya sendiri dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi. Foto X Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 5 Okt – ‘Meneroka’ hantaran-hantaran di media sosial berhubung penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026, sebenarnya tidak sukar untuk mentafsirkan bahawa ia suatu permulaan buat Malaysia kembali ke kalender perlumbaan itu pada masa depan.
Walaupun penganjurannya adalah hasil kerjasama antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kerajaan Bahrain dan Malaysia pada Julai lalu susulan konflik Iran yang menjadikan Bahrain tidak selamat untuk menganjurkan perlumbaan, ia sebenarnya menyediakan platform strategik awal buat Malaysia mempertimbangkan semula penganjuran Grand Prix sendiri sekitar tiga hingga lima tahun lagi.

Menurut penganalisis, keupayaan Sepang International Circuit (SIC) menganjurkan perlumbaan berskala besar di litar kebanggaan rakyat Malaysia itu sudah tidak dapat dinafikan lagi malah sokongan kuat diberikan para peminat F1 yang ‘berkampung’ dari seluruh dunia sejak awal minggu ini.
“Saya lihat cukup ramai yang mengimbau kembali nostalgia berada di SIC ketika kali terakhir kita menjadi hos pada 2017 dan melihat Sepang sebagai antara litar paling sukar diramal dari segi cuaca dan dinamik perlumbaan, tidak mustahil desakan peminat tempatan mahu pun luar negara menjadi faktor utama bagi kerajaan mempertimbangkan kembali (penganjuran) F1 ke Sepang.

“Mungkin kerjasama awam-swasta boleh dijadikan model seperti mana dilakukan Singapura yang menjadikannya suatu bentuk kerjasama strategik antara GLC negara itu iaitu Singapore Airlines (SIA) dengan pihak berkuasa atau perbadanan dimiliki republik itu,” katanya.
Beliau mengulas makna di sebalik perlumbaan dianjurkan Bahrain International Circuit (BIC) yang membawa F1 kembali ke Sepang sejak 2017, selepas litar tersebut dahulunya menjadi tuan rumah Malaysian Grand Prix dari 1999 hingga 2017.

Cuma berlainan kali ini, media sosial amat membantu dari segi promosi Sepang serta Kuala Lumpur malah Langkawi turut menjadi tajuk carian peminat F1 sama ada di enjin pencari ‘Google’ atau pun menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti Meta.AI dan ChatGPT.
Ini yang menyebabkan lebih 100 ribu peminat F1 seluruh dunia amat teruja mahu menyaksikan majoriti pelumba pada 2017 kembali beraksi di litar sama namun persaingannya berbeza sama ada memburu kejuaraan dunia pelumba atau pun kejuaraan bagi pengeluar.

Menteri Belia dan Sukan sendiri dilaporkan sedang meneliti kemungkinan Malaysia kembali menganjurkan pusingan F1 sendiri sebagai pengganti Bahrain, menunjukkan minat kerajaan menilai semula potensi sukan ini sebagai pemangkin ekonomi dan pelancongan negara.
Ketepatan masa ini amat signifikan memandangkan kedudukan kewangan negara kini jauh lebih stabil berbanding satu dekad lalu ketika negara bergelut memulihkan imej dan kepercayaan pelabur antarabangsa susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apatah lagi, Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjimatkan RM15.5 bilion wang rakyat hanya dalam tempoh dua tahun menerusi langkah penyelamatan kewangan, sekali gus membuka ruang fiskal lebih luas untuk mempertimbangkan pelaburan jangka panjang seperti penganjuran acara megah antarabangsa.
Pengalaman menganjurkan GP Bahrain tahun ini membolehkan Malaysia menguji sendiri tahap kesiap siagaan infrastruktur, logistik dan keupayaan pengurusan acara besar tanpa menanggung kos penuh sebagai penganjur utama, memandangkan Bahrain kekal sebagai penaja kewangan utama acara ini.

Ini memberi ruang Malaysia menilai sambutan peminat tempatan, impak positif ekonomi sebenar kepada sektor pelancongan dan perhotelan sebelum membuat keputusan muktamad melabur semula secara penuh dalam GP sendiri.
Jika sambutan tahun ini positif, ia boleh menjadi asas kukuh Malaysia merundingkan semula kontrak F1 jangka panjang, membuktikan negara telah benar-benar bangkit daripada bayang-bayang skandal kewangan lalu dan kini mampu berdiri sebagai tuan rumah acara sukan bertaraf dunia secara berdikari.

Ia tidak mustahil sekiranya semua pihak berganding bahu bersama Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan Bahrain menganjurkan perlumbaan di Malaysia yang telah terbukti berpengalaman dari semua segi lebih 15 tahun lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
