TPM Ahmad Zahid Yakin Calon Perpaduan Menang DUN Sungai Bakap

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika sidang media pada Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini. Foto Facebook Zahid Hamidi

NIBONG TEBAL, 2 Jul – Kerajaan Perpaduan mampu memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata keyakinan tersebut adalah bersandarkan kepada gerak kerja kempen jentera BN dan UMNO yang telah melaksanakan kaedah tertentu untuk mendekati sekali gus menarik sokongan pengundi muda kepada calon Kerajaan Perpaduan Cikgu Joohari Ariffin.

Beliau berkata jentera pilihan raya parti itu turut memberi tumpuan terhadap 5,105 ahli UMNO yang merupakan pengundi di DUN Sungai Bakap sejak pengisytiharan calon yang bertanding pada 22 Jun lepas.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika sidang media pada Program Pra Tahfiz Peringkat Negeri Pulau Pinang hari ini. Foto Facebook Zahid Hamidi

“Untuk anak-anak muda, telah ada program tertentu yang kita laksanakan. Mereka mungkin bersentimen sebaliknya tetapi apabila pendekatan dilakukan dengan kaedah terbaik dan sesuai dengan cita rasa mereka, saya fikir akhirnya pada hari pengundian, mereka akan mengundi Dr Joohari Ariffin iaitu calon daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan menang, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Pra Tahfiz Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Pulau Pinang di Dewan Perda-Tech, Bukit Panchor di sini hari ini.

Justeru itu, Ahmad Zahid meminta pengundi Sungai Bakap memberikan sokongan dan dukungan kepada calon Pakatan Harapan untuk kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh Rashidi Zinol.

“Saya harap ibu bapa dapat istiqamah bersama-sama dengan saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilahirkan di Sungai Bakap ini untuk terus menjadi pemimpin kita bagi pembangunan di Sungai Bakap, Nibong Tebal dan insya-Allah, di seluruh Pulau Pinang dengan bertambahnya seorang lagi ADUN daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pad Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *