Tingkat Prasarana Institusi Islam Pulau Pinang, PM Anwar Umum Peruntukan RM6.4 Juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Program Ma’idah Wanita MADANI Peringkat Nasional serta melancarkan Tadabur Mushaf Malaysia MADANI di Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya pada 29 Ogos 2026. Foto PMO
BUTTERWORTH, 29 Ogos – Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM4.6 juta, bagi membaik pulih infrastruktur asas di 27 institusi pendidikan Islam di seluruh Pulau Pinang, tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, peruntukan diluluskan itu meningkat sebanyak RM2.49 juta ketimbang RM2.11 juta yang disalurkan pada 2025 bagi kerja baik pulih 11 institusi pendidikan Islam, di negeri itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk pelbagai keperluan termasuk menaik taraf madrasah, sekolah, bangunan tadika dan akademi tahfiz serta membina tembok dan pagar.
“Tahun lalu di Pulau Pinang, kita tambah RM2 juta lebih. Tahun ini saya umumkan kita bagi RM4.6 juta untuk institusi agama rakyat.

“Untuk naik taraf, untuk tembok pagar, taraf madrasah, sekolah, bangunan baharu tadika, akademi tahfiz,” kata beliau berucap pada Program Tadabbur Perdana Peringkat Nasional dan Program Maidah Wanita MADANI Permatang Pauh, di Masjid Muhajirin di sini hari ini.
Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada keperluan sekolah agama rakyat dan institusi pendidikan Islam, bagi memastikan kemudahan pendidikan agama di negara ini Terus diperkukuh.

Sehubungan itu, Anwar mahu usaha memperkukuh pendidikan Islam, perlu seiring dengan perkembangan teknologi termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajian al-Quran dan Islam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan integrasi teknologi berkenaan perlu berteraskan nilai murni dan kekuatan akhlak.

“AI mesti ada nilai. AI mesti teras kepada akhlak. Bukan AI untuk mencungkil bakat dan kefahaman tanpa akhlak dan nilai,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut menyeru masyarakat agar memanfaatkan ruang kebebasan di negara ini untuk menganjurkan lebih banyak majlis keagamaan bagi memperkukuh kefahaman Islam.

Beliau berkata program seperti kelas al-Quran, tadabbur dan majlis ilmu perlu dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan tahap penghayatan masyarakat terhadap ajaran Islam yang sebenar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
