Tiga Lelaki Ditahan Kes Mabuk, Gaduh Depan Hotel

Siasatan awal mendapati insiden kira-kira jam 4 petang itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati, selain beberapa individu terbabit didakwa berada dalam keadaan mabuk.
JOHOR BAHRU, 8 Ogos – Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit pergaduhan di hadapan sebuah hotel di sini, kelmarin, sebagaimana paparan rakaman video yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden kira-kira jam 4 petang itu dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati, selain beberapa individu terbabit didakwa berada dalam keadaan mabuk.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat pada jam 12.55 tengah hari tadi berhubung kejadian pergaduhan menggunakan tangan, kaki dan senjata itu.
“Susulan maklumat diterima, polis menahan tiga lelaki berusia antara 35 hingga 56 tahun di hadapan hotel itu kira-kira jam 3 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azrul Hisham berkata, hasil semakan juga mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 25 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Bagaimanapun, beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.
“Proses permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata, dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan.
“Polis juga masih giat mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit kejadian itu,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melalui talian 07-2182323.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


