Tidak Mengejutkan ‘Budak Rafizi’ Dalam AMK Keluar Parti Secara Berperingkat

Muhammad Haziq Azfar Ishak, sememangnya merupakan ‘proksi’ Rafizi dalam AMK malah mengendalikan podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ sejak Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi, Jun tahun lalu.
PENDAPAT, 20 Mei – Seperti dijangka, seorang Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang condong kepada bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli akhirnya meletakkan jawatan hari ini seakan telah ‘disusun’ secara berperingkat.
Senario tersebut tidaklah mengejutkan sangat kerana Muhammad Haziq Azfar Ishak, sememangnya merupakan ‘proksi’ Rafizi dalam AMK malah mengendalikan podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ sejak Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi, Jun tahun lalu.
Apa sekalipun alasan yang diberikan termasuk kononnya KEADILAN semakin ‘mempertahankan status quo’ tidak benar sama sekali, malah kesepaduan dalam Pakatan Harapan (PH) semakin utuh susulan Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru, 17 Mei lalu.

Ini kerana mereka yang keluar sama ada menang atau tewas dalam perebutan jawatan masing-masing sebenarnya hanya ‘menurut perintah’ bekas ahli parlimen Pandan itu untuk keluar secara ‘tersusun’ kononnya mahu cuba ‘menyakitkan’ KEADILAN tetapi kekuatan parti tidak terjejas.
Dakwaan kononnya KEADILAN dan PH terpaksa mengabaikan suara penyokong kerana hasil berdolak-dalik dan menangguhkan janji perubahan juga tidak benar kerana Kerajaan Perpaduan dibentuk atas gabungan parti dan bukannya kemenangan PH semata-mata seperti pada PRU ke-14.
Selain itu, dakwaan kononnya keadaan itu memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat khususnya golongan muda dan pengundi kali pertama terhadap institusi politik serta demokrasi negara, juga tidak berasas.
Ini kerana telah banyak reformasi dilakukan termasuk reformasi institusi berkaitan had jawatan Perdana Menteri dua penggal dan pemisahan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwaraya Persekutuan.
Nota: Artikel disiarkan merupakan pendapat penganalisis dan tidak semestinya menjadi pendirian rasmi Harapan Madani
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
