Tiada Makna Kepakaran, Kecekapan Tanpa Disertai Nilai, Etika, Tolak Rasuah – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perasmian Malaysia Professional Day di KLGCC Convention Centre pada 29 September 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 30 Sep – Apa sahaja kepakaran dan kecemerlangan dalam sesuatu bidang perlu disertai nilai, etika serta keberanian menolak rasuah, ketirisan dan kebobrokan.
Elemen tersebut dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di laman media sosial seraya berkata, ia bagi memastikan ilmu benar-benar memberi manfaat kepada negara dan masyarakat.

“Mana-mana negara atau tamadun tidak hanya berdiri dengan batu, besi ataupun angka-angka pertumbuhan saban tahun.
“Malah, ia dibangunkan juga oleh kalangan mereka yang berilmu, berprinsip dan menggarap setiap kepakaran yang datang bersama amanah.
“Justeru, memang kita digesa untuk mengejar dan menggapai kecemerlangan serta pengkhususan (specialization), namun ilmu yang membeku dalam ruang dogma akhirnya boleh kehilangan makna dan jiwa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, filasuf besar Ortega y Gasset mengingatkan betapa bahaya gejala “barbarism of specialization”, yakni ketika seseorang yang terlalu arif dalam satu bidang, tetapi menjadi asing dalam hal kesedaran terhadap permasalahan masyarakat dan kemanusiaan.
Justeru, beliau mengingatkan ikhtisas harus menemukan dirinya pada nilai.

“Kepakaran mesti bersanding dengan etika, kecemerlangan dengan ‘itqan fil amal’ dan profesionalisme dengan keberanian untuk menyatakan yang benar serta tegas menolak segala bentuk rasuah, ketirisan dan kebobrokan.

“Sementalahan, Malaysia tidak akan terangkat hanya kerana kita memiliki kalangan mereka yang pintar.
“Malaysia akan terangkat apabila kepintaran itu dipadukan dengan hikmah, apabila perbezaan kaum, agama dan wilayah tidak menjadi tembok yang memisah, tetapi menjadi tiang kekuatan yang menyempurnakan wajah dan seri sesebuah bangsa,” katanya.
Hari Ikhtisas Malaysia yang diisytihar pada 29 September setiap tahun jelas Perdana Menteri, harus bermakna lebih daripada penghargaan semata-mata.

Sebaliknya ia adalah suatu peringatan bahawa ilmu tidak semata jalan ke arah kecemerlangan, tetapi wahana untuk meninggikan martabat negara dan masa depan generasi yang bakal mewarisinya.
Beliau berkata, kecemerlangan profesional harus melangkaui kepakaran teknikal untuk merangkumi pemahaman mengenai masyarakat, keluarga, alam sekitar dan dunia secara lebih luas.

“Bagaimana kita boleh bercakap mengenai profesionalisme apabila sikap perkauman yang sempit dan berakar umbi masih wujud?” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
