Terdesak Punca Pembangkang Mainkan Isu Tukar Kerajaan – Kamil Munim

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata pembangkang terdesak untuk terus memainkan persepsi memburukkan kerajaan kerana sedar hanya dengan cara itu mereka dapat memulihkan sokongan yang kian merosot. Foto Facebook Kamil Munim

KUALA LUMPUR, 10 JanSetiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, mengingatkan pelbagai kesan negatif yang mungkin berlaku pada ekonomi jika pembangkang terus memainkan isu pertukaran kerajaan di luar pilihan raya.

Katanya ketika ini negara berada di landasan yang terbaik sehingga mendapat keyakinan pelabur asing.

“Kestabilan politik penting bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan baik. Negara kini berada pada landasan terbaik jika dilihat dari indikator ekonomi semasa.

“Meskipun isu ini dimainkan sejak awal tahun, kita menyaksikan peningkatan pelaburan yang signifikan menunjukkan mereka yakin kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Kamil di sebalik pelbagai usaha dibuat pembangkang untuk menjatuhkan Anwar, kerajaan perpaduan tetap stabil dan masih mengekalkan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata pembangkang terdesak untuk terus memainkan persepsi memburukkan kerajaan kerana sedar hanya dengan cara itu mereka dapat memulihkan sokongan yang kian merosot. Foto Facebook Kamil Munim

Justeru dalam keadaan itu katanya pembangkang patut memainkan peranan sebagai ejen semak dan imbang terhadap dasar oleh kerajaan.

“Motivasi utama mereka (pembangkang) ialah untuk menjatuhkan Anwar dengan apa cara sekalipun, lalu terus bermain dengan persepsi, tapi sebenarnya tiada tawaran polisi yang jelas, yang ada cuma fitnah dan adu domba.

“Pembangkang seharusnya memainkan peranan sebagai agen semak dan imbang, bukan (sibuk) mencatur langkah sumbang,” katanya.

Tegasnya, kerajaan hari ini menumpukan perhatian untuk menyelesaikan masalah rakyat dan pada masa sama berusaha memulihkan ekonomi negara.

Dalam keadaan begitulah, kata Kamil, pembangkang berterusan cuba menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat.

Dakwa Kamil pembangkang terdesak untuk terus memainkan persepsi memburukkan kerajaan kerana sedar hanya dengan cara itu mereka dapat memulihkan sokongan yang kian merosot.

“Ini adalah satu sikap yang sangat tidak bertanggungjawab,” kata Kamil yang juga merupakan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK).

Bagaimanapun, Kamil mengakui isu pertukaran kerajaan yang didendangkan PN sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Sebab itu saya kata mereka tidak bertanggungjawab… terus bermain sentimen tetapi di parlimen tidak pernah bangkitkan (soal keabsahan perdana menteri).

“Secara peribadi, saya percaya ada dalam kalangan ahli parlimen pembangkang sedia beri sokongan kepada Anwar untuk mengangkat agenda Madani.

“Cumanya, mungkin mereka tak boleh berbuat demikian kerana harus walak kepada pimpinan serta menghormati disiplin organisasi (parti),” katanya lagi.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *