Tauliah Mengajar Bidang Kuasa Pentadbir Agama Negeri, Bukan PMX

Syarat-syarat pentauliahan telah termaktub secara sah dalam undang-undang syariah negeri dan perlu dipatuhi oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang. Foto Muhammad Syahir Adib
KUALA LUMPUR, 18 Okt – Dakwaan tidak berasas yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya menjadi punca seorang pendakwah bebas disekat daripada menyampaikan kuliah di beberapa negeri telah mencetuskan reaksi hangat di platfom media sosial.
Naratif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak itu cuba menggambarkan wujudnya tekanan politik dari peringkat Kerajaan Persekutuan terhadap institusi keagamaan.
Walau bagaimanapun, tuduhan sedemikian dengan pantas mengundang teguran tajam dan pencerahan fakta daripada pengguna media sosial yang peka terhadap struktur perundangan negara.

Seorang pengguna media sosial tampil menempelak dakwaan berkenaan dengan menegaskan bahawa urusan pentauliahan ceramah dan pengawasan aktiviti dakwah di masjid mahupun surau adalah di bawah bidang kuasa mutlak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Kuasa meluluskan tauliah ini berada langsung di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi negeri-negeri beraja, dan bukannya dikawal oleh Perdana Menteri atau Pentadbiran Putrajaya.
Pihak berkuasa agama negeri menetapkan garis panduan ketat, termasuk penarikan atau penolakan tauliah mengajar, bagi memastikan mimbar masjid kekal bebas daripada unsur politik kepartian dan provokasi yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Pengguna berkenaan turut menyelar tindakan menyalahkan Kepimpinan Perdana Menteri sebagai satu bentuk manipulasi persepsi yang dangkal dan cubaan meraih simpati politik. Beliau mengingatkan bahawa prinsip tabayyun (semakan fakta) sepatutnya diutamakan oleh setiap individu, terutamanya golongan yang bergelar agamawan, sebelum melemparkan sebarang tuduhan melulu di ruang awam.
Syarat-syarat pentauliahan telah termaktub secara sah dalam undang-undang syariah negeri dan perlu dipatuhi oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang.
Adalah tidak wajar menyalahkan Perdana Menteri kononnya campur tangan dalam soal pentauliahan seseorang agamawan di mana-mana negeri kerana ia adalah keputusan pentadbiran agama negeri berkenaan yang berasaskan undang-undang tempatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

