Tarik Pelaburan Asing Dengan Wujudkan Zon Perdagangan Bebas Di Miri

Shamsul Iskandar (tengah) mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Chiew (kiri) menghadiri majlis makan malam Sabtu lalu. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin

MIRI, 11 Jun – Kerajaan Pusat disaran supaya menarik pelaburan asing ke Miri melalui pelbagai usaha dan inisiatif seperti mewujudkan zon perdagangan bebas atau memberi insentif kepada pelaburan yang akan membantu meningkatkan peluang ekonomi tempatan di sini.

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, Miri memiliki potensi besar untuk menjadi tumpuan kepada pelaburan asing terutamanya dalam bidang perkhidmatan dan sebagai tempat riadah, sekali gus menjadikan ia sesuai sebagai zon perdagangan bebas.

“Di samping itu, Kerajaan Pusat juga boleh membuka jalinan kerjasama dengan negara Brunei melalui zon ekonomi khas Sarawak-Brunei seperti yang dilakukan oleh Johor dengan Singapura,” katanya pada majlis makan malam Sambutan Gawai Perpaduan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam Sabtu lalu.

Chiew (kanan) bersama Shamsul (tengah) dan Abun (kiri) yang menghadiri majlis makan malam Sabtu lalu. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin

Majlis tersebut dirasmikan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hadir mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chiew juga turut memohon kepada Kerajaan Pusat supaya menyokong projek mendalamkan delta atau kuala Sungai Baram dari segi peruntukan kerana ia menelan kos yang tinggi, selain bakal merangsang pembangunan industri tempatan seperti perkapalan, pengangkutan laut dan menjadi pangkalan bekalan utama khususnya bagi industri minyak dan gas di luar pantai.

“Projek memperdalamkan delta Kuala Baram ini dijangka akan mengubah Miri menjadi hab ekonomi selain Bintulu apabila ia siap kelak.

Shamsul Iskandar (tengah) bersama para penari kebudayaan yang menghadiri majlis makan malam Sabtu lalu. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin

“Saluran akses yang cetek di Delta Kuala Baram pada masa ini amat sesak dengan aktiviti pengairan, tetapi dengan rancangan pengorekan yang teliti, lebih banyak bot dan kapal akan dapat berlabuh di Pelabuhan Miri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chiew turut meminta Kerajaan Pusat supaya menyegerakan kelulusan projek menaik taraf Lapangan Terbang Miri (LTM) yang amat dinanti-nantikan.

“LTM merupakan lapangan terbang yang ke-6 paling sibuk di Malaysia dan telah beroperasi melebihi kapasiti asalnya sejak tahun 2014.

“Memandangkan LTM juga merupakan lapangan terbang utama yang menghubungkan ke kawasan pedalaman, projek menaik tarafnya telah diakui penting dan diberi keutamaan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam mengangkat projek ini untuk kelulusan Kerajaan Pusat.

“Walau bagaimanapun, sudah lama rakyat Miri menanti-nantikan tetapi projek ini masih belum lagi diluluskan,” katanya lagi.

Beliau juga turut memaklumkan mengenai projek penambahbaikan dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di Kuala Baram, yang merupakan salah satu pintu masuk utama dari negara Brunei ke Malaysia melalui bandar raya Miri.

“Oleh itu, penambahbaikan dan penaik tarafan ICQS Sungai Tujoh amat penting kerana bukan sahaja dapat membantu merangsang ekonomi tempatan tetapi juga mendatangkan sumber pendapatan negara,” tambah beliau.

“Kita memang berupaya untuk mengubah Miri menjadi satu hab ekonomi utama di utara Sarawak. Saya dengan rendah dirinya memohon sokongan daripada Datuk Seri supaya projek dan dasar yang dinyatakan di atas ini mendapat kelulusan daripada pihak Kerajaan.

“Saya juga memohon jasa baik Datuk Seri untuk membawa hasrat rakyat Miri ini kepada perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, supaya dapat mengumumkan berita baik buat rakyat Miri dalam Belanjawan 2025 nanti,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis anjuran Persatuan Pewaris Miri itu ialah Ahli Dewan Negara Senator Abun Sui Anyit, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak Roland Engan yang juga pengerusi penganjur majlis makan malam Sambutan Gawai Perpaduan 2024.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *