’Tak Senang Hati Hantar Gambar Pada Ebit Lew Tanpa Pengetahuan Suami’

Ebit Lew (tengah) ketika tiba di Mahkamah Majistret Tenom pada Mac lalu.
TENOM, 15 Feb – Seorang wanita berusia 40-an hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa dia berasa tidak senang hati apabila pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memaksanya untuk menghantar beberapa keping gambar.
Saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu dalam kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew berkata demikian di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin dalam pemeriksaan utama meminta saksi itu membacakan kandungan mesej yang dihantarnya kepada Lew iaitu “da msj kt IG” pada tangkap layar aplikasi WhatsApp.
Wanita itu berkata, dia menghantar mesej tersebut untuk meluahkan rasa tidak senang hati dan berdosa kerana di belakang suami, dia melayan Lew yang memaksanya untuk menghantar beberapa keping gambar.
Antara kandungan mesej yang dihantar ialah “mesej ni pun just nak cakap je, langsung tidak minta maaf dengan saya sebab buat yang tidak sepatutnya dengan saya, paksa saya bagi gambar macam-macam, bodohnya saya ikut.”

Saksi itu berkata, pada awalnya dia melihat tertuduh sebagai orang yang baik dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan serta tidak menyangka Lew sanggup berbuat demikian kepadanya.
Wanita itu berkata, dia juga menyesal kerana pernah menjadikan Lew sebagai idolanya kerana pendakwah itu kini dilihat sebagai seorang pendosa.
Pada prosiding hari ini, saksi itu selesai membuat pengecaman ke atas 436 keping gambar yang diekstrak daripada telefon bimbit miliknya.
”Buat taubat nasuha awak, sama-sama kita. Insya-ALLAH saya akan jaga aib ini. Sebenarnya hari ini itu yang saya nak WhatsApp, next week (minggu depan) dah puasa.
“Awak baik, anggap ini ujian. Dengan saya tak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak nama awak terkenal.
“Maaf saya cakap-cakap macam ini. Lagi pun masa yang sangat sesuai, dengan kuarantin seminggu,” katanya bagi membaca teks yang terkandung dalam tangkap layar tersebut.
Sepanjang membaca teks tersebut, suara pengadu mulai perlahan dan berganti dengan perasaan sebak lalu menangis tersedu-sedu.
Bagaimanapun, pengadu meneruskan bacaan teks tersebut bahawa dia akan simpan aib tersebut memandangkan mereka hanya sebagai manusia biasa seperti yang dikatakan pendakwah itu.
“Lagi pun saya isteri orang, tak apalah ujian hidup saya dengan ada suami macam ini, saya sabar saja demi anak.
“Saya nak kawan dengan awak sebenarnya sebab saya suka nasihat-nasihat awak, tapi saya salah.
”Salah maksudnya, saya pun dah gagal dengan ujian ini, macam tak sedap badan pula hari ini, sakit kepala dan tekak,” katanya sambil mengelap air mata.
Sesi perbicaraan kemudian ditanggungkan seketika selepas Nor Azizah memohon bahawa saksi perlu menenangkan dirinya.
Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
‘Pendakwah’ itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung pada 20 Mei depan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
