Sukan Asia 2026: Azizulhasni, Skuad Skuasy Negara Terus ‘Melombong’ Emas

IMG_7099

Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat emas acara keirin lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Oktober 2026.

SHIZOUKA/NAGOYA, 2 Okt – Menepati ramalan awal, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memastikan pingat emas keirin di Sukan Asia Aichi-Nagoya milik negara hari ini, 16 tahun selepas memenangi emas pertamanya di temasya Sukan Asia.

Azizulhasni mempamerkan pengalamannya apabila memintas pelumba China, Li Zhiwei di garisan penamat untuk memastikan kemenangan dan menambah koleksi pingat emas kepada lapan.

Xie Han dari China menduduki tempat ketiga manakala rakan sepasukan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom berada di tempat kelima dalam final di Velodrom Izu, Shizuoka.

Ia adalah pingat emas ketiga Azizulhasni dalam kariernya di Sukan Asia selepas muncul juara acara pecut individu lelaki di Palembang, Indonesia 2018 dan memenangi emas keirin di Guangzhou 2010.

Ng Eain Yow mengesahkan pingat emas milik skuad skuasy lelaki negara selepas menundukkan Pakistan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Oktober 2026. Foto Bernama

Pelumba berusia 38 tahun itu sebelum ini memenangi saringan separuh akhir hari ini, menamatkan perlumbaan di depan Minato Nakaishi dari Jepun dan Yung Tsun Ho dari Hong Kong yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kem negara terus ceria apabila pasukan skuasy lelaki negara menyumbang pingat emas kesembilan kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Pakistan 2-0 pada aksi final berpasukan di Arena Nagoya Kinjo Futo, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia kembali merangkul emas berpasukan lelaki selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Ia menyaksikan skuad skuasy negara meraih emas berganda hari ini selepas pasukan wanita turut mempertahankan gelaran dengan menewaskan Hong Kong 2-1, sekali gus menjadikan skuasy menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen negara pada temasya kali ini.

Sebelum ini, Ng Eain Yow dan S Sivasangari turut menyumbang emas selepas menjuarai acara perseorangan lelaki dan wanita.

Pada aksi final berpasukan lelaki, C Ameeshenraj menyumbang mata pertama buat Malaysia selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan Nasir Iqbal 8-11, 11-3, 11-6, 11-4.

Trio skuasy wanita negara cemerlang mempertahankan pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Oktober 2026. Foto Squash Racquets Association of Malaysia (SRAM)

Eain Yow diberi tentangan sengit sebelum mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menewaskan Noor Zaman 11-8, 6-11, 7-11, 11-4, 11-5 untuk memastikan gelaran juara menjadi milik negara.

Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia menyamai pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara pada Sukan Asia, iaitu ketika meraih sembilan emas pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *