SUK Negeri Sembilan Jalankan Tugas Seperti Biasa

SUK Negeri Sembilan Jalankan Tugas Seperti Biasa

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim (duduk) ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. Foto PSUKNS

SEREMBAN, 23 Sep – Seakan tidak terkesan dengan ‘arahan’ Menteri Besar, Ismail Lasim, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim terus menjalankan tugasnya seperti biasa hari ini.

Malah, beliau juga tidak menerima sebarang surat rasmi berkenaan penggantungan tugas oleh kerajaan negeri, difahamkan setelah kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) dikeluarkan malam tadi.

Beliau juga akur arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk terus kekal bertugas di negeri itu.

“Saya jalankan tugas seperti biasa dan masuk pejabat. Cumanya hari ini saya ada tugasan rasmi di luar,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam mesyuarat khasnya sebulat suara menggantung tugas Mohd Zafir dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Susulan penggantungan berkenaan, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas SUK hingga SUK baharu diumumkan KSN, manakala tugas memberi nasihat perundangan pula akan dilaksanakan Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan AGC.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web