Sudah Sampai Masa Alat Muzik Tradisional Kembali Disemarakkan Anak Muda

IMG_5489

Persembahan kebudayaan menggunakan alat muzik tradisional bukan hanya terhad kepada sambutan buat tetamu negara, malah Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti ia mahu disemarakkan dalam kalangan generasi muda. Foto PMO

PENDAPAT, 8 Sep – Gambus? Rebab? Serunai?

Jika kita bertanya kepada anak muda zaman kini yang cukup terdedah dengan unsur luar yang merosakkan, pastinya kita merasa kecewa dengan jawapan mereka, namun adakah kita sedar bahawa kita jugalah antara punca mereka ‘buta’ dengan alat muzik di atas?

Kini sudah sampai masanya alat muzik tradisional rakyat Malaysia kembali disemarakkan penggunaannya dan diangkat sebagai warisan budaya yang perlu dihargai oleh setiap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda.

Instrumen gamelan menjadi antara alat muzik tradisional yang perlu dipertahankan bagi dimanfaatkan generasi muda kini.

Malaysia memiliki khazanah muzik tradisional yang amat pelbagai seperti kompang, rebab, gamelan, sape, serunai, gambus, gendang dan sompoton. Instrumen ini bukan sekadar menghasilkan irama yang indah, malah mempunyai hubungan rapat dengan sejarah, adat, identiti serta kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Di Sarawak sahaja, lebih 15 alat muzik tradisional boleh diketengahkan dan diperkenalkan dalam kalangan generasi muda dengan mengekalkan identiti dan pengkisahan sejarah asal-usul alat muzik berkenaan serta cara penggunaannya.

Namun, perkembangan hiburan moden dan perubahan gaya hidup menyebabkan sebahagian generasi muda semakin kurang mengenali alat muzik tradisional yang jika kita biarkan, ia merupakan satu kerugian terhadap khazanah seni dan budaya negara.

Kajian dan dokumentasi berkaitan rebab, misalnya, menunjukkan alat muzik tersebut semakin kurang dikenali dalam kalangan anak muda, sedangkan ia mempunyai peranan penting dalam persembahan tradisional seperti Mak Yong, Main Puteri dan Selampit.

Justeru, usaha menghidupkan kembali muzik tradisional perlu dilakukan secara lebih kreatif dan dekat dengan dunia generasi muda dengan memastikannya ia relevan dengan peredaran zaman.

Jika institusi pendidikan, persatuan kebudayaan, komuniti dan penggiat seni berganding bahu memperbanyakkan kelas muzik, bengkel, persembahan serta pertandingan yang memberi peluang kepada anak muda mempelajari dan menguasai instrumen tradisional.

Kita mahu aspek sebaran menggunakan platform media sosial dimaksimumkan dalam memperkenalkan keunikan bunyi dan sejarah setiap alat muzik kepada khalayak yang lebih luas. Kreativiti juga boleh digunakan dengan menggabungkan muzik tradisional dan moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Warisan tidak akan kekal hidup hanya kerana disimpan di muzium atau didokumentasikan dalam buku. Ia mesti dimainkan, dipelajari dan diwariskan.

Sekiranya usaha ini dilakukan secara berterusan, alat muzik tradisional rakyat Malaysia bukan sahaja dapat dielakkan daripada pupus ditelan zaman, malah mampu kembali menjadi kebanggaan generasi masa kini dan akan datang.

Jadi apa tunggu lagi? Bertindaklah sekarang!

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web