SPRM Reman Datuk Seri, Datuk Wira Disyaki Salahguna Urusan Pelaburan RM10 Juta
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perintah reman dua tokoh korporat yang juga merupakan adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira kerana disyaki bersubahat menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan perintah reman selama lima hari sehingga 6 Oktober depan terhadap kedua-dua suspek selepas permohonan dibuat SPRM berjaya di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada penghujung tahun 2020.
Kedua-dua suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan yang berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama yang bergelar Datuk Seri berusia lingkungan 40-an.
Dalam pada itu, SPRM turut menyita sebanyak 15 unit kereta mewah, 12 unit motosikal berkuasa tinggi, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

