SPRM Mungkin Panggil Bekas Exco Perak Isu Rizab Tanah Melayu

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata bekas Exco Perak itu mungkin dipanggil selepas hadir pada pertandingan akhir debat di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini yang diungguli oleh mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Foto Bernama

SRI ISKANDAR, 9 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes penyelewengan pindah milik tanah rizab Melayu di Perak pada 2012 termasuk dalam kalangan Exco kerajaan negeri ketika itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, selain Exco, saksi lain yang akan dipanggil adalah kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Perak yang dalam perkhidmatan ketika itu, serta semakan terhadap dokumen seperti minit mesyuarat yang dibawa kepada kelulusan di peringkat Exco.

“Saksi lain akan dipanggil terutama mereka yang ketika itu bertugas di PTG, termasuk minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa kepada kelulusan Exco.

“Exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 ke-5 di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Ditanya sama ada akan wujud pendakwaan berhubung kes itu dalam masa terdekat, Azam bagaimanapun tidak dapat memberi kepastian walaupun mengakui siasatan sudah di peringkat kedua iaitu selepas pendakwaan di Mahkamah Sesyen Ipoh ke atas seorang pesara PTG Perak pada 30 April lalu.

“Itu saya belum boleh beri kepastian (pendakwaan dalam waktu terdekat) lagi yang mana siasatan kini di peringkat kedua selepas kita tuduh seorang pegawai (pesara) PTG sebelum ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menafikan pembebasan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman oleh SPRM Selasa minggu lalu berkait dakwaan pengubahan status Tanah Rizab Melayu seluas 650 hektar di mukim Sitiawan itu bermaksud siasatan terhadapnya selesai.

“Dia dibebaskan kerana sudah tamat tempoh reman yang dibenarkan oleh Majistret, dan siasatan masih diteruskan.

“Bukan bermakna siasatan sudah selesai,” katanya.

Pada 30 April lalu media melaporkan, bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di PTG Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu jabatan kerajaan negeri Perak sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu membabitkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, dalam daerah Manjung, 12 tahun lalu.

Tertuduh, Rosli Che Mohamed, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *