Serang Balai Polis: Jenazah Muhamad Syafiq Selamat Disemadikan

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham Muhamad Syafiq, Ahmad Said Md Piah selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 di Kuantan hari ini.

KUANTAN, 18 Mei – Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, awal pagi semalam, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Kuantan-Gambang, di sini, jam 5.50 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Johor Bahru di rumah bapanya di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11 Jalan Gambang, di sini, kira-kira jam 4.40 petang sebelum disolatkan kira-kira 30 jemaah termasuk Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Majlis pengebumian dihadiri kira-kira 500 orang meliputi ahli keluarga, rakan serta pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang serta Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuantan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham Muhamad Syafiq, Ahmad Said Md Piah selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 di Kuantan hari ini.

Antara yang hadir ialah Yahaya dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Yahaya turut menyerahkan Jalur Gemilang yang membaluti keranda Muhamad Syafiq, kepada bapa Allahyarham, Ahmad Said Md Piah.

Awal pagi semalam, negara digemparkan dengan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, oleh seorang lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, tiga maut membabitkan dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta suspek berusia 21 tahun, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *