Sembilan Bulan Bergelar YB, DUN Kota Lama Pantas Berubah Wajah

ADUN Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim menyertai Setiausaha Politik Menteri Kewangan Kamil Munim mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan membincangkan hal ehwal kebajikan warga kastam untuk dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook Kamil Munim

KOTA BHARU, 10 Jun – Sedar tak sedar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim telah menggalas amanah yang diberikan rakyat selama sembilan bulan sejak menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos tahun lalu.

Tanpa membuang waktu, ditambah dengan pelbagai masalah membelenggu puluhan tahun, beliau sedaya-upaya menanganinya dengan tenang, berstrategi dan berkesan.

Antara isu yang kerap diajukan kepadanya berkenaan keadaan jalan yang tidak memuaskan terutama setiap kali musim hujan.

Keadaan jalan yang belum berturap merosakkan kenderaan penduduk sekitar Lorong Kelochor Setia, Kota Bharu sebelum ini.

Beliau melalui Pusat Khidmat DUN Kota Lama telah menerima aduan jalan rosak daripada penduduk di Lorong Kelochor Setia, di sini baru-baru ini.

Mereka minta supaya jalan ditar sepenuhnya kerana keadaannya yang teruk sehingga menyebabkan kenderaan yang lalu-lalang rosak dan mengakibatkan kos pembaikan bertambah.

Bertindak atas maklumat itu, pihaknya telah melakukan pembaikan semula jalan oleh kontraktor yang dilantik dengan menabur batu crusher run dahulu, dan kini jalan di lorong tersebut telah ditar sepenuhnya.

Dr Hafidzah mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama semua pihak semasa proses pembaikan ini berjalan hingga siap sepenuhnya baru-baru ini.

Keadaan jalan yang sudah berturap sekitar Lorong Kelochor Setia, Kota Bharu yang dibiayai menerusi peruntukan ICU JPM hasil maklumat Pusat Khidmat Rakyat DUN Kota Lama.

“Terima kasih juga kepada pihak Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah membantu mensejahterakan rakyat dengan meluluskan peruntukan berkenaan.

“Keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kota Lama sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami berusaha untuk memastikan bahawa setiap aduan dan masalah yang dihadapi oleh warga Kota Lama diberikan perhatian yang sewajarnya dan diselesaikan dengan cekap,” katanya.

Bukan itu saja, beliau yang cakna dan prihatin kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) memaklumkan Projek Rumah Ihsan EKasih akan didirikan buat Mak Long Shamsiah seorang OKU pesara guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik Pas di Sungai Keladi di sini.

Dr. Hafidzah menziarahi Mak Long Shamsiah yang tergolong dalam kategori OKU dan memberitahu sebuah rumah ehsan E-kasih akan dibina menerusi peruntukan ICU JPM tidak lama lagi. Foto Wan Hasikin

“Semoga projek yang akan bermula sekarang ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Hati berbunga-bunga melihat senyum lebar Mak Long bila ditunjukkan model rumah yang bakal beliau duduki setelah bersabar lama menunggu kediaman yang lebih selesa. Terima Kasih pihak PPN ICU JPM yang memungkinkan rumah ini terlaksana,” ujarnya.

Turut dilakukan ialah projek penambahbaikan Masjid Desa Rahmat dengan menukarkan karpet baharu agar jemaah dapat menunaikan solat fardhu dan tarawih dengan selesa.

Manakala longkang sekitar masjid juga diperbaiki bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat yang sering terjadi apabila hujan lebat disebabkan masalah longkang tersumbat sejak sekian lama.

Dr. Hafidzah menziarahi dua insan yang diuji dengan cabaran hidup iaitu Suriani Ibrahim dan Sairawati Mansor dengan sumbangan disampaikan Kamil Munim dalam program Ziarah Kasih MADANI sekitar DUN Kota Lama pada Ahad. Foto Facebook Dr. Hafidzah Mustakim

Sementara sebuah dewan kecil dibina bagi keperluan warga masjid menjalankan aktiviti dan kelas dewasa, mengaji Al Quran, kelas tuisyen dan memperkasakan program wanita dan komuniti di sekitar masjid ini dengan peruntukan dibiayai menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurut Dr. Hafidzah lagi, selain masjid dan surau, Pasar Besar Siti Khadijah juga diberi keutamaan pembaikan kerana pasar ini menjadi ikon negeri Kelantan.

Dengan kerjasama daripada ICU JPM yang memperuntukkan RM50,000 baru-baru ini, pembaharuan dan pembaikan yang berlaku kembali menceriakan suasana pasar yang lebih bersih, tersusun dan selesa.

Dr. Hafidzah (kiri) menyertai Program Gotong-Royong Cegah Denggi yang diadakan di Masjid Ar-Rahman sekitar Chempaka bagi menggalakkan warga DUN Kota Lama menjaga persekitaran dan kebersihan bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes. Foto Facebook Dr. Hafidzah Mustakim

“Perkara yang menarik perhatian saya adalah ruang legar rehat yang telah disediakan untuk pengunjung. Ia merupakan tempat yang selesa untuk menunggu dan berehat di samping menjadikan pasar kebanggaan rakyat Kelantan ini kembali menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

P“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha ini.

“Semoga kita terus bersama-sama menjadikan Pasar Siti Khadijah sebagai destinasi yang lebih baik dan menarik untuk pengunjung tempatan dan pelancong asing. Terima kasih,” katanya lagi.

Keadaan terkini Pasar Besar Siti Khadijah yang berwajah baharu dengan ruang legar rehat yang telah disediakan untuk keselesaan pengunjung hasil makluman Pusat Khidmat Rakyat DUN Kota Lama kepada ICU JPM.

Walaupun belum genap setahun menjadi wakil rakyat, ternyata segala gerak kerja komuniti, permasalahan rakyat, aduan serta penambahbaikan akan terus dilakukan setiap waktu demi kesejahteraan rakyat di kawasannya dan kawasan sekitar tanpa mengira fahaman politik seraya mendokong aspirasi Malaysia MADANI.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *