Segerakan Baik Pulih Kuarters TUDM Sungai Besi Land – PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah bin Zubair, Pengkalan Udara TUDM Sungai Besi dan meninjau kuarters di tapak bekas Pangkalan TUDM pada 2 Oktober 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 2 Okt – Kerja-kerja baik pulih kuarters Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi Land dijangka boleh dilaksanakan segera bagi membolehkan kawasan itu disediakan bagi tujuan perumahan anggota demi memenuhi keperluan serta menjamin kebajikan mereka.
Perkara tersebut telah diteliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi Jawatan Kuasa Pemandu Sungai Besi Land, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa mengadakan lawatan ke kuarters terbabit petang tadi.

Atas prinsip Malaysia MADANI, perumahan berkenaan diperlukan bagi mengubah wajah kawasan berkenaan kepada status antarabangsa selari dengan pembangunan Bandar Malaysia.
“Saya telah meminta Tan Sri Hassan dan Datuk Bandar, (serta) Hannah Yeoh untuk menyegerakan pemulihan untuk kita sediakan rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan berkenaan bersama pihak terbabit kira-kira 30 minit.

Pembangunan Tanah Rizab Melayu (TRM) berkeluasan 20.23 hektar di Bandar Malaysia itu sedang dirancang agar selaras dengan visi kerajaan yang lebih meluas untuk mentransformasikan kawasan itu kepada hab perniagaan antarabangsa yang rancak.
Ia juga dapat memastikan fasa pertama pembangunan di 160 lot berkeluasan purata 1,267.8 kaki persegi seunit, dapat disasarkan kepada golongan profesional muda Melayu di Kuala Lumpur.

Pembangunan dikendalikan KLCC Development Sdn Bhd dengan fokus menjadikan kawasan itu destinasi pelancongan budaya dengan mengetengahkan warisan Melayu dan pada masa sama memastikan elemen ekonomi, sosial dan budaya disepadukan secara menyeluruh dalam pelan induk keseluruhan.

“Kerajaan MADANI bertekad memperluas peluang pemilikan kediaman serta mengangkat martabat dan kedudukan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera tanpa menjejaskan hak serta peluang kaum lain.
”Kemakmuran Kuala Lumpur mesti dinikmati bersama secara adil agar setiap warga mempunyai tempat dan masa depan yang bermaruah di ibu kota,” ujar Anwar.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
