Sebaik Belanjawan 2027 Lulus, Peruntukan MP Pembangkang Setuju CSA Disalur Segera – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarabbin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur pada 30 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 30 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 ketika ini berada di peringkat perbahasan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat dan dijangka diluluskan dalam masa terdekat.
Susulan itu, kesemua ahli parlimen yang telah menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI akan menerima peruntukan masing-masing sebaik belanjawan sebanyak RM510 bilion itu mendapat kelulusan dewan.

“Belanjawan dalam (peringkat) perbahasan dan sebaik diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman.
“Sebaik saja lulus Parlimen, kita boleh salur segera,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan diminta mengulas tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu memeterai CSA dengan Kerajaan MADANI dalam satu majlis di Bangunan Parlimen yang diwakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mengetuai senarai ialah Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin, Mohd Radzi Jidin (Putrajaya), Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok), Azman Nasrudin (Padang Serai) dan Ali Biju (Saratok).

Menurut kandungan yang dipersetujui menerusi perjanjian berkenaan termasuk mereka memberikan sokongan terhadap pentadbiran Anwar hingga akhir penggal, termasuk menyokong Belanjawan 2027.
Selain itu, mereka tidak terikat dengan apa-apa syarat dan kekal menjadi pembangkang seperti biasa sebagai satu bentuk mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

Mereka hanya menyokong sebarang rang undang-undang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara seperti usul pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwaraya serta menghadkan tempoh jawatan perdana menteri selama dua penggal.
Turut menandatangani CSA itu ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat daripada parti itu pada 2024 selepas memutuskan untuk menyokong Kerajaan MADANI.

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Pun begitu, ahli parlimen pembangkang lain yang berminat boleh menyatakan hasrat masing-masing dan bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan bagi menikmati peruntukan serupa dengan ahli parlimen kerajaan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
