Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia Corakkan Wajah Sebenar Perpaduan

Apabila rakyat berdiri teguh di bawah satu payung perpaduan tanpa mengira perbezaan latar belakang agama, budaya, atau ideologi politik, negara mampu mendepani apa jua halangan dengan keyakinan yang tinggi. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 29 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan Hari Malaysia ke-69 pada 16 September depan bakal mencorak dimensi baharu serta menghidupkan makna sebenar erti kemerdekaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di tanah air.
Di tengah-tengah persekitaran global yang terus mencabar, berteraskan ketidaktentuan ekonomi dunia, ketegangan geopolitik, dan ancaman pelbagai krisis moden, kemeriahan tahun ini bukan sekadar sebuah acara sambutan tahunan yang meriah dengan perarakan megah serta kibaran Jalur Gemilang.

Akan tetapi, ia menjelma sebagai satu platform penting untuk menyuntik semangat ketahanan nasional dan kebersamaan yang utuh dalam setiap diri kita bergelar anak Malaysia walau di mana sahaja kita berada.
Kemeriahan sambutan ini menuntut rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk merenung kembali pengorbanan generasi terdahulu dalam membina sebuah negara yang berdaulat, aman, dan harmoni bagi memacu kemajuan lebih besar pada masa mencabar kini.

Perpaduan yang terjalin erat antara Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak menjadi benteng pertahanan paling kukuh dalam menghadapi gelombang cabaran luar. Apabila rakyat berdiri teguh di bawah satu payung perpaduan tanpa mengira perbezaan latar belakang agama, budaya, atau ideologi politik, negara mampu mendepani apa jua halangan dengan keyakinan yang tinggi.
Dimensi baharu kemerdekaan ini menuntut anjakan minda agar erti merdeka diterjemahkan melalui pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang, penguasaan teknologi masa depan, pemerkasaan ekonomi rakyat, serta integriti yang tinggi dalam pentadbiran negara.

Semangat patriotisme yang dipupuk sepanjang bulan kebangsaan ini terutama di kalangan generasi muda harus dihayati secara mendalam dan berterusan sepanjang tahun, bukan sekadar bermusim atau tinggal kenangan setiap kali kita melepasi tarikh 16 September setiap tahun.
Kita tidak mahu sambutan tahun ini sekadar menyalakan obor semangat perpaduan, memahat rasa bangga di jiwa setiap warganegara, malah ia dapat memastikan Malaysia kekal berdaulat serta disegani di persada antarabangsa.
Pun begitu, jangan sesekali kita lupa akan perjuangan tokoh kemerdekaan menghalang penguasaan penjajah asing dan jadikan ia sebagai satu azimat dan semangat tinggi bagi mengangkat martabat negara dan bangsa di mata dunia.
Oleh Andre Lai
Mantan Ahli Lembaga Penasihat KL
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

