Saifuddin Nasution Selar Pihak Putar Belit Isu Tutup Pintu Pagar Balai Polis

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau IPD Marang dalam lawatan kerja ke Terengganu pada Rabu. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 11 Jul – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan sesetengah pihak memutar belit kenyataannya berhubung isu penutupan pintu pagar balai polis pada 10 malam sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

“Semalam (Selasa) saya sebut tutup pintu pagar. Bukan tutup balai. Kalau ada orang nak buat aduan mesti petugas akan buka pagar. Ia tidak kompromi tugas balai untuk terima aduan, tapi dia punya spin itu sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Terengganu pada Rabu.

Pada Selasa di Parlimen, Saifuddin Nasution berkata pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas pukul 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

Ia dilakukan bagi mengimbangi antara keperluan rakyat membuat laporan dengan aspek keselamatan balai dan anggota bertugas.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan semalam berkata laporan polis masih boleh dibuat walaupun pagar balai polis ditutup selepas 10 malam sebagai langkah memperketatkan kawalan dan keselamatan.

KDN memaklumkan jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat pada Selasa secara prinsipnya merujuk kepada garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman.

“Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan itu ditafsirkan semula oleh sesetengah pihak sebagai ‘tutup pagar’ secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada Selasa berkata, penyampaian perkhidmatan polis masih berjalan seperti biasa dan orang ramai tetap boleh membuat aduan dan laporan walaupun pintu pagar ditutup.

Ia sekaligus menafikan fitnah dan dakwaan di media sosial kononnya orang ramai tidak boleh berurusan di balai selepas waktu berkenaan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *