Saarani Seru Anak Perak Rebut Puluhan Ribu Peluang Pekerjaan, Tidak Berhijrah Keluar

4d5f5cae-6d00-4357-a08d-7e7370fee6b5

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani (empat dari kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Panggung Percubaan Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 5 September 2026. Foto Hasniza

TANJONG MALIM, 5 Sep – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyeru mahasiswa dan golongan muda anak Perak supaya merebut peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan menerusi pelbagai projek pembangunan dan pelaburan strategik di negeri itu, sekali gus mengurangkan penghijrahan tenaga muda ke negeri lain.

Beliau berkata, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kini semakin terbuka di Perak, termasuk menerusi pembangunan Proton City di Tanjong Malim, Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Silver Valley Technology Park (SVTP).

Menurutnya, pembangunan Proton City dijangka menyediakan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan, manakala LuMIC disasarkan menjana sekurang-kurangnya 50,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 25 tahun, KIGIP sekitar 10,000 dan SVTP kira-kira 13,000 peluang pekerjaan.

Saarani (dua dari kiri) bersama Khairudin (kiri) ketika menyantuni peserta pada majlis perasmian Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Panggung Percubaan Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 5 September 2026. Foto Hasniza

“Sepatutnya, bila kita beri pendekatan ini, anak-anak muda Perak termasuk yang ada di hadapan saya ini boleh sampaikan kepada yang lain: mereka tidak perlu berhijrah kerana peluang-peluang itu ada di sini.

“Dan tolonglah isi peluang-peluang pekerjaan yang sedang kami sediakan ini. Kerana kalau tidak, nanti orang lain isi,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Panggung Percubaan Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 5 September 2026. Foto Hasniza

Saarani berkata, usaha menyediakan peluang pekerjaan itu merupakan antara langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030, terutama selepas kajian mendapati kira-kira 110,000 belia berkemahiran meninggalkan Perak dalam tempoh 2010 hingga 2020 kerana kekurangan peluang pekerjaan.

Saarani berkata pembangunan industri di Perak turut disokong oleh usaha menjadikan negeri itu sebagai Koridor TVET Malaysia, dengan 62 daripada 101 institusi berkaitan di negeri itu menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata keperluan tenaga mahir dijangka meningkat selari dengan kemasukan pelaburan baharu, termasuk pembangunan ekosistem industri automotif, elektronik dan elektrik (E&E), teknologi hijau serta projek infrastruktur berskala besar.

Antara peserta Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 pada pada majlis perasmian Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Panggung Percubaan Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 5 September 2026. Foto Hasniza

Dalam pada itu, Saarani berkata, pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada Jun 2022 kini berada di landasan yang betul, namun empat tahun akan datang merupakan tempoh penting yang memerlukan penglibatan golongan muda.

Beliau berkata, seramai 807 peserta Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 merupakan antara kelompok bakat yang diperlukan untuk menerajui negeri itu ke arah mencapai matlamat sebagai sebuah negeri makmur dengan rakyat yang sejahtera menjelang 2030.

“Kita ada cukup talent, terutama di hadapan saya ada seramai 989 orang anak-anak sekalian. Bukan calang-calang, tetapi talent yang ada ilmu, ada kemahiran dan mampu menggunakan ilmu serta kemahiran itu untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama, negeri dan negara,” ujarnya.

Khairudin ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di Panggung Percubaan Kampus Sultan Azlan Shah UPSI pada 5 September 2026. Foto Hasniza

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, penganjuran Karnival Siswa Perak Sejahtera merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri mendekati mahasiswa serta mendengar suara dan aspirasi golongan muda.

Beliau berkata, mahasiswa perlu memainkan peranan sebagai rakan kepada pembangunan negeri dengan menjadikan ilmu, idea dan aspirasi mereka sebagai sebahagian daripada usaha membentuk masa depan Perak.

“Anak muda khususnya mahasiswa mesti menjadi rakan kepada pembangunan negeri. Kita mungkin datang daripada kampus dan latar belakang yang berbeza serta mempunyai pandangan dan aspirasi yang berbeza, namun kita berkongsi negeri dan tanggungjawab yang sama untuk melihat Perak terus maju dan makmur,” katanya.

Oleh Bazli Razak, UPSI
Foto Hasniza, UPSI

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web