Runtuhan Batu Di Cappadocia Sebabkan Tiga Maut

Pasukan penyelamat mencari mangsa di lokasi runtuhan formasi batuan akibat tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat di daerah Cappadocia, Nevsehir, Turkiye. Hujan lebat menyebabkan satu formasi batuan berbentuk menara runtuh di kawasan pelancongan Cappadocia. Foto AFP
ISTANBUL, 30 Okt – Tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan satu formasi batu berbentuk menara runtuh di wilayah Cappadocia, Turkiye, meragut tiga nyawa.
Tragedi itu berlaku semalam di lokasi yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia (UNESCO), menurut pihak berkuasa.
Wilayah Cappadocia yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia terkenal dengan formasi batu berbentuk kon yang dikenali sebagai ‘cerobong pari-pari’ (fairy chimneys), hasil aktiviti gunung berapi purba.

“Berdasarkan penemuan awal, dua orang terbunuh manakala lima lagi cedera dalam kejadian itu,” kata Menteri Kehakiman, Akin Gurlek menerusi platform X.
Menurut Gabenor Nevsehir, Huseyin Kok, pasukan penyelamat kemudian menemui satu lagi mayat di bawah runtuhan, menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang.
Beliau berkata, seorang daripada mangsa yang maut adalah warga asing manakala dua lagi warga Turkiye.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedang meneruskan operasi secara intensif dan berintegrasi bagi mengesan kemungkinan mangsa lain yang masih terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.
Rakaman televisyen menunjukkan jentera berat mengorek timbunan runtuhan, manakala pasukan penyelamat berkumpul di lokasi kejadian dalam usaha mengesan dan mengeluarkan mangsa.
Jentera pengorek dan anggota penyelamat meneruskan operasi hingga malam dengan menggunakan lampu limpah berkuasa tinggi bagi membantu pencarian.
Pasukan penyelamat turut menjalankan operasi mengesan bunyi secara teliti bagi menentukan sama ada terdapat mangsa yang terperangkap di bawah serpihan batu yang runtuh.

Menurut Kok, kejadian berlaku pada jam 3.15 petang waktu tempatan (12.15 tengah hari GMT) apabila tanah runtuh mencetuskan runtuhan batu di bandar Goreme, berhampiran muzium terbuka.
Menurut laporan, kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam susulan kejadian itu.
Saksi kejadian berkata, mereka terdengar bunyi dentuman kuat ketika formasi batu berhampiran kawasan letak kenderaan runtuh, sekali gus mencetuskan kepulan debu yang besar. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

