Ruang Mahasiswa Bersuara, Bentuk Pemikiran Kritis Dimanfaat Dengan Pemansuhan AUKU – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Sesi Temu Anwar sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam pada 28 Ogos 2026. Foto PMO
BUKIT MERTAJAM, 28 Ogos – Ruang kepada mahasiswa bersuara secara bebas serta mengembangkan daya cipta, kreativiti dan pemikiran kritis dijangka dapat dimanfaatkan selepas pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan, mahasiswa perlu dididik untuk berani mengemukakan pandangan dan membincangkan sesuatu isu secara terbuka, termasuk menerima hakikat bahawa pandangan mereka mungkin tidak sentiasa benar.

“Pada 1971, kerajaan kenakan sekatan kebebasan mahasiswa tetapi saya katakan anak-anak sudah 18 tahun. Dia boleh mengundi, mana sekatnya.
“Mengapa saya hapuskan akta universiti…untuk memberikan ruang kepada anak-anak untuk bicara secara bebas… kerana saya nak didik anak-anak dengan daya cipta, kreativiti, dengan penilaian dan pandangan kritis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar yang berminat menceburi bidang politik pada Sesi Temu Anwar Bersama Pelajar bersempena dengan Program Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Keputusan Kerajaan MADANI memansuhkan AUKU bertujuan memastikan mahasiswa tidak terus dikongkong, sebaliknya diberikan ruang untuk membentuk pemikiran yang matang.
Kebebasan bersuara itu jelas Perdana Menteri, perlu disertai dengan keupayaan menilai sesuatu perkara berasaskan fakta dan ilmu, bukan sentimen, sekali gus melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa.

Beliau berkata pemimpin politik juga perlu mendidik masyarakat berasaskan fakta dan ilmu serta mengelakkan pendekatan yang memainkan sentimen perkauman.
Menjawab soalan mahasiswa yang berminat menyertai politik kelak, Anwar berkata generasi muda yang berminat dalam bidang itu perlu mempunyai courage of conviction, iaitu keberanian mempertahankan pendirian berdasarkan keyakinan dan ilmu.

Beliau berkata politik merupakan bidang yang mulia sekiranya seseorang menjadikannya sebagai amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat, namun boleh menjadi kotor sekiranya disalahgunakan bagi kepentingan diri.
“Politik merupakan bidang mulia jika kita menjadikannya mulia, namun ia boleh jadi kotor dan penuh rasuah sekiranya kita mudah dipengaruhi mereka yang terang-terangan mengamalkan rasuah.

“Jadi, nasihat saya, silakan (sertai politik). Jika kita bercakap mengenai masyarakat, komuniti dan negara, pastikan kita menceburi politik dan berkhidmat kerana cinta kepada negara ini serta yakin akan masa depannya,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
