Reformasi Industri Mampu Noktahkan Kemiskinan, Pengangguran, Kata Zhao Yide

Pertemuan Delegasi Parti KEADILAN yang diketuai Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dengan Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Shaanxi, Zhao Yide berlangsung petang semalam. Foto Noraini Nordin

SHAANXI, 19 Mei – Melaksanakan reformasi industri adalah langkah paling berkesan untuk membasmi kemiskinan serta menoktahkan pengangguran kalangan rakyat khasnya golongan muda.

Selain itu melalui refomasi industri, jurang kemiskinan dan jurang pembangunan antara bandar dan desa dapat dirapatkan.

Setiausaha Jawatankuasa Wilayah Shaanxi, (yang bertaraf TYT kepada Wilayah Shaanxi yang mempunyai 40 juta penduduk) Zhao Yide membuat perkongsian tersebut dalam pertemuan dengan delegasi KEADILAN yang diketuai oleh Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar di wilayah itu pada Jumaat lalu.

Penyelia ladang wilayah Shaanxi mengiringi delegasi KEADILAN diketuai Naib Presiden Nurul Izzah Anwar melawat tapak pertanian di sekitar wilayah itu. Foto Noraini Nordin

Zhao Yide mengambil contoh apa yang telah pihak beliau berjaya lakukan di Wilayah Shaanxi melalui strategi reformasi industri.

Menurut Zhao Yide reformasi industri di kawasan-kawasan luar bandar yang penduduknya dahulu miskin kini berubah wajah serta mampu meraih pendapatan tinggi.

Jelasnya reformasi industri secara menyeluruh sehingga kawasan kampung berjaya dimajukan serta dimodenkan sehingga mampu menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia.

Penyelia ladang wilayah Shaanxi menerima buku berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar. Foto Noraini Nordin

MEMBINA KILANG KOMUNITI

Menurut beliau, inisiatif boleh dimulakan dengan membina kilang komuniti yang mampu menawarkan pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Pegawai parti diletakkan di setiap komuniti kampung untuk memantau dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.

“Biasanya 18 pegawai akan ditempatkan bagi setiap 10,000 penduduk,” jelas beliau lagi yang turut mempelawa para delegasi melawat produk-produk reformasi industri di wilayah tersebut.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar tertarik dengan penghasilan produk pertanian yang diusahakan penduduk kampung di wilayah Shaanxi. Foto Noraini Nordin

Beliau berkata, bagi industri yang memerlukan kenaikan taraf, kerajaan sendiri akan membantu dari segi kepakaran sains dan teknologi dengan memberi penekanan kepada kualiti serta kuantiti pengeluaran.

Jelas beliau lagi, bantuan daripada kerajaan tersebut amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara semasa proses pembangunan dilaksanakan.

Katanya, sokongan kepada rakyat berpendapatan rendah yang dipantau secara konsisten mampu memastikan rakyat yang terlibat tidak kembali ke kancah kemiskinan.

Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar ditemuramah ketika melawat ladang pertanian di wilayah Shaanxi pada Jumaat. Foto Noraini Nordin

Dalam pertemuan itu juga, Nurul Izzah turut berkongsi mengenai Kajian Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021 yang telah menunjukkan kesan Covid-19 terhadap kemiskinan.

Kajian yang pernah dilaksanakan di Permatang Pauh telah memperincikan kaedah lebih realistik, komprehensif dan holistik bagi mengukur kadar kemiskinan.

Usaha ini dapat memastikan golongan miskin tegar dapat pertolongan yang sewajarnya, selari dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Oleh Noraini Nordin
    (Yang turut bersama dalam Lawatan Rasmi Delegasi KEADILAN ke Republik Rakyat China Sempena Sambutan Ulang Tahun ke 50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China)

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *