Rakyat Malaysia Dinasihat Tinggalkan Yaman Segera

IMG_5229

Peningkatan ketegangan dan konflik bersenjata yang berterusan di beberapa kawasan di Yaman menuntut pertimbangan keselamatan rakyat Malaysia. Foto AFP

SANAA, 1 Nov – Rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dinasihatkan mengutamakan keselamatan diri dan membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela.

Nasihat ini dikeluarkan Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Muscat, Oman, melalui notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini.

Menurut kedutaan, pihaknya sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Yaman susulan peningkatan ketegangan dan konflik bersenjata yang berterusan di beberapa kawasan negara itu. Keadaan keselamatan disifatkan semakin tidak menentu, justeru rakyat Malaysia tidak wajar menunggu sehingga keadaan bertambah buruk.

Nasihat ini perlu diambil serius kerana penerbangan komersial masih tersedia buat masa ini. Jika situasi meruncing, pilihan keluar mungkin menjadi terhad. Kedutaan menasihatkan rakyat Malaysia merancang perjalanan keluar dengan teliti, termasuk memastikan laluan yang selamat, pengangkutan tersedia, dokumen perjalanan lengkap dan status penerbangan masing-masing disemak terlebih dahulu.

Sementara itu, mereka diingatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan konflik, mengikuti perkembangan keselamatan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. Kedutaan turut menggesa rakyat Malaysia menangguhkan sebarang perjalanan ke Yaman sehingga keadaan keselamatan kembali stabil.

Bagi memudahkan bantuan, rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dan belum berdaftar digesa berbuat demikian melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my. Mereka juga dinasihatkan memuat turun aplikasi MyWorldAlert untuk menerima maklumat penting dengan lebih pantas.

Sebarang perkembangan dan maklumat penting akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi KBM Muscat. Orang ramai dinasihatkan merujuk saluran tersebut sahaja dan tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan. Bagi pertanyaan atau bantuan konsular, hubungi talian kecemasan kedutaan di +968 7159 2388.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *