Raja Permaisuri Agong Berangkat Ziarah Beri Penghormatan Buat Wira Negara

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menitiskan air mata melihat keranda jenazah dua wira negara yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini sebelum dibawa menaiki van jenazah untuk dihantar pulang.

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua wira negara yang gugur dalam tragedi serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, di sini semalam.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada pukul 11.40 pagi itu disambut oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pesuruhjaya Polis Johor, M Kumar.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menitiskan air mata melihat keranda jenazah dua wira negara yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, di sini sebelum dibawa menaiki van jenazah untuk dihantar pulang.

Raja Zarith meluangkan masa kira-kira 10 minit menyantuni kedua-dua keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang terkorban.

Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi daripada baginda serta Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kepada ahli keluarga wira negara tersebut menurut hantaran di Facebook rasmi Baginda hari ini.

Sesudah itu, solat jenazah disempurnakan diketuai oleh Imam Daerah Johor Bahru, Mohd. Nazri Ali dan disertai oleh seramai lebih 500 jemaah yang terdiri daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga mangsa.

Jenazah dua anggota polis itu dibawa dari Hospital Sultan Ismail dan tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil pada pukul 9.30 pagi.

Keranda dua wira negara itu diselimuti dengan bendera Malaysia sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Terdahulu, lebih 200 warga PDRM Johor dan ahli keluarga membacakan surah Yasin kepada dua anggota yang terkorban sebelum mendirikan solat jenazah.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *