Punca Labuan ‘Berpanas’ Lebih 20 Jam Dikenal Pasti

Petugas melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik akibat kerosakan kabel bawah tanah milik SESB di Labuan.

LABUAN, 3 Apr – Kerosakan kabel bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjadi punca kepada gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Mohd Yusmanizam Mohd Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan melibatkan kabel bawah tanah itu memerlukan kepakaran dan kemahiran.

Beliau berkata, gangguan bekalan elektrik bermula pada 1 April lepas pada jam 4.22 petang dan menjejaskan beberapa kawasan di sini.

Katanya, ia termasuk Jeti Lama Labuan, Masjid India, Bangunan Alliance Bank, Melati Inn Hotel, Terminal Ferry Roro, Terminal Ferry Labuan, Labuan Liberty Port, kawasan Jalan OKK Abdullah, Pejabat Pos Dataran, Mariner Hotel, Jalan Bunga Anggerik dan Jalan Bunga Dahlia.

Petugas melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik akibat kerosakan kabel bawah tanah milik SESB di Labuan.

“SESB Zon Labuan menerima makluman gangguan bekalan pada jam 4.22 petang dan pemeriksaan dilaksanakan oleh pasukan kerja teknikal SESB,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Menurutnya, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dibuat secara berperingkat dan bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan ke beberapa kawasan.

Katanya, masih terdapat beberapa kawasan tidak dapat ditenagakan dan memerlukan kerja pembaikan dilaksanakan terlebih dahulu.

Beliau berkata, pada jam 7.02 malam, lokasi kerosakan kabel bawah tanah berjaya dikenal pasti dan kerjakerja pembaikan dilaksanakan serta merta.

Petugas melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik akibat kerosakan kabel bawah tanah milik SESB di Labuan.

“Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta-merta sebaik sahaja lokasi kerosakan dikenal pasti. Bagaimanapun pada jam 4 pagi kerja-kerja terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat,” jelasnya.

Menurutnya, bekalan elektrik di kawasan terlibat pulih sepenuhnya pada Selasa kira-kira jam 12.02 tengah hari.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *