Proses Penghantaran Pulang Pendatang Asing Diteruskan, Tertakluk Rundingan – JIM

Suasana program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar di Lumut pada 29 September 2026. Foto KDN
PUTRAJAYA, 6 Okt – Proses penghantaran pulang warga asing tetap akan diteruskan termasuk Myanmar kerana ia merupakam operasi berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Bagaimanapun, JIM akan menunggu hasil perbincangan dengan Kerajaan Myanmar sebelum melaksanakan fasa seterusnya operasi penghantaran pulang berkenaan.
Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas Kementerian Luar berhubung hasil rundingan dengan Kerajaan Myanmar bagi menentukan tarikh fasa seterusnya.
“Selepas kita menerima tarikh, kita akan membuat persiapan yang diperlukan dan mengenal pasti mereka yang akan dihantar pulang.
“Ini adalah operasi yang berterusan walaupun selepas kita sudah selesai menghantar 5,000 warga Myanmar yang dipersetujui sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar operasi khas jabatan itu di sini, hari ini.
Menurut data daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang merekodkan lebih 200,000 pelarian dengan kira-kira separuh daripada pemegang kad UNHCR ialah warga Myanmar.
Mereka dijangka dimasukkan ke dalam sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memudahkan proses semakan dan keberadaan semasa yang diselaraskan antara agensi berkaitan.
Terdahulu, pada 29 September lalu, seramai 1,476 pendatang asing warga Myanmar dihantar pulang menerusi jalan laut melibatkan kapal tentera laut Myanmar yang berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web



