PRN Melaka: PH Tambah Tiga Kerusi Lepas Nilai Kekuatan, Kemampuan Parti

Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) antara persatuan media aktif di Melaka sehingga kini. Foto Pendika
MELAKA, 30 Okt – Keputusan Pakatan Harapan (PH) menambah tiga lagi kerusi daripada 21 kepada 24 dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa dan kemampuan parti menyediakan calon berpotensi di kawasan berkenaan.
Susulan pertambahan itu, PH meletakkan sasaran terkini untuk memenangi 18 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, ia turut mengambil kira kekuatan jentera parti, keupayaan calon dan penerimaan penduduk setempat sebelum keputusan akhir dibuat.
“Pada peringkat awal, kita menetapkan bertanding 21 kerusi, tetapi melihat perkembangan politik semasa dan ada parti politik yang tidak mengisi keperluan itu, kita melihat kita mempunyai kemampuan untuk bertanding dengan calon yang sudah disediakan.
“Kita akhirnya mengambil keputusan untuk bertanding 24 kerusi di peringkat DUN (daripada 21 sebelum ini),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Hi-Tea PH bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di Ames Hotel, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, PH bukan sahaja mahu meraih 18 kerusi, malah memberi perhatian kepada usaha mempertahankan lima kerusi dimenangi sebelum ini iaitu di DUN Kota Laksamana, Ayer Keroh, Banda Hilir, Kesidang dan Bukit Katil.
“Daripada awal sasaran kita ialah 18 kerusi DUN dan kita tahu bahawa kita ada kemampuan di 18 kerusi dengan berusaha untuk mengekalkan lima kerusi yang kita sudah ada,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PH tidak menjadikan isu pertindihan calon dengan Bersatu sebagai tumpuan utama, sebaliknya mahu memastikan kekuatan dalaman gabungan itu berada pada tahap terbaik.
Katanya, PH tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan parti lain untuk meletakkan calon di sesuatu kawasan kerana setiap parti mempunyai pertimbangan dan strategi tersendiri.
Beliau menafikan keputusan bertanding di 24 kerusi itu berpunca daripada kegagalan rundingan dengan mana-mana gabungan, sebaliknya menegaskan ia dibuat berdasarkan strategi serta kemampuan PH sendiri.
“Tak timbul soal itu (rundingan gagal), sama ada rundingan tak rundingan, gagal atau tidak gagal, itu bergantung kepada keputusan 14 hari bulan itu,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web






