PRN Melaka: Ketiadaan Ahmad Zahid Peluang Keemasan PH Gempur Kawasan BN

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin meneruskan kempen sekitar Cheng pada sesi walkabout sarapan pagi pada 5 November 2026.
MELAKA, 5 Nov – Ketiadaan Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Istanbul, Turkiye, selama empat hari menghadiri Forum TRT World 2026, wajar dimanfaatkan sebaiknya jentera Pakatan Harapan (PH) yang sedang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Walaupun ketiadaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bersifat sementara dan ada pemimpin lain yang boleh mengisi ‘kelompongan’ itu, namun peluang sebegini memang tidak patut dilepaskan pemimpin dan jentera PH dalam minggu pertama kempen sekarang.

Ruang strategik berkenaan mesti diambil kesempatan sebaiknya dengan menerobos 24 kerusi PH dari DUN Kuala Linggi hingga Sungai Rambai, setiap saat kempen amat bernilai bagi menggempur seberapa banyak kawasan di seluruh negeri ini.
Usah diulangi situasi pada PRN 2021 apabila PH hanya memenangi lima kerusi manakala BN 21 kerusi, walaupun diakui penularan pandemik Covid-19 mengurangkan jumlah pengundi yang keluar ketika itu.
Namun, dengan tiadanya sebarang mudarat atau wabak melanda negara ini, ditambah dengan hari pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November, sebenarnya memberi tempoh singkat untuk mana-mana parti untuk bertemu seramai mungkin pengundi.
Dalam tempoh begini, kehadiran pemimpin di akar umbi sering menentukan sama ada undi atas pagar beralih arah sama ada apabila PH berkempen dahulu mahu pun BN cuba ‘mencucinya’ kemudian.

PH perlu menggembleng pemimpin kanan, jentera parti komponen dan sukarelawan untuk menggempur sebanyak mungkin kawasan, khususnya kerusi marginal dan kawasan majmuk.
Ziarah rumah ke rumah, ceramah kecil dan kunjungan ke pasar serta kampung perlu dipertingkat. Malah, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, sendiri menegaskan satu undi pun boleh menentukan kemenangan atau kekalahan di sesuatu kerusi.

Rakyat kini mengharapkan agar PH terus giat menerangkan manifesto dengan tema ‘Melaka Rumah Kita’ di saat BN belum lagi mengemukakan tawaran ekoran terpaksa ‘bersilat’ dengan isu pemberian bakul makanan di DUN Rim baru-baru ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

