PRN Melaka: Ayuh Kerja Keras Raih Kepercayaan Rakyat, Tangkis Fitnah – PM Anwar

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan pada majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di perkarangan Stadium Hang Jebat pada 24 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 25 Okt – Seluruh calon dan jentera parti dalam Pakatan Harapan (PH) diseru agar bekerja keras bagi meraih kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, tegas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial malam ini, Anwar yang juga Perdana Menteri, berkata segala fitnah dan hasutan perkauman perlu ditangkis, menerusi pencapaian serta khidmat bakti kepada rakyat.

“Ayuh seluruh calon dan jentera Pakatan Harapan, galas amanah dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dengan kerja keras.
“Mudah-mudahan keikhlasan dan kesungguhan kita mampu mencipta sejarah di bumi Melaka serta menggerakkan pembaharuan demi masa depan yang lebih adil, makmur dan bermaruah,” ujar Anwar.

Pada PRN Melaka ke-16 kali ini, PH mempertaruhkan 21 calon daripada tiga parti komponennya iaitu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP berbanding 28 calon pada PRN 2021.
KEADILAN meletakkan calon di sembilan kerusi, AMANAH lima dan DAP tujuh dengan baki tujuh lagi kerusi tidak diletakkan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
