PRN Melaka: Adly Calon Ketua Menteri PH – MB Amirudin

IMG_9741

Adly Zahari pernah mentadbir Melaka susulan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 dengan menumbangkan BN buat kali pertama sejak 1957.

KAJANG, 1 Nov – Calon Ketua Menteri Melaka bagi Pakatan Harapan (PH) ialah Pengerusi PH negeri, Adly Zahari seandainya gabungan politik itu memperoleh kemenangan majoriti mudah 15 kerusi dan ke atas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Meskipun PH mempunyai beberapa calon lain dari kalangan kesemua 24 calon PRN Melaka, namun Adly disifatkan calon yang terbaik, menurut Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Setakat ini, Adly calon Ketua Menteri menerusi persefahaman jika kita dapat majoriti atau diberi kepercayaan (dalam PRN Melaka).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari bersama Khoo Poay Tiong (dua dari kanan) ketika sidang media harian PH di Bukit Piatu pada 1 November 2026.

“Setakat semalam, masih terlalu awal untuk melihat suasana. Namun, kita yakin kita boleh memberikan saingan sengit kali ini, insya-Allah,” katanya.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Kajang, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, PH akan mengumumkan manifesto ‘Rumah Kita’ mewakili pakatan itu bagi rakyat Melaka dalam tempoh tiga hari lagi.

Terdahulu, Adly berkata, PH tidak pernah membincangkan berkaitan isu ‘poster boy’ kerana strategi politik kali ini adalah setiap calon dipilih perlu menumpukan kepada kawasan masing-masing untuk menang.

Beliau dilaporkan berkata, tiada guna mempunyai ‘poster boy’ tetapi tidak boleh memenangi kerusi ditandingi atau mempertahankan kerusi sedia ada.

Pada PRN Melaka ke-15 tahun 2021, Adly yang juga Naib Presiden AMANAH memperoleh majoriti 1,057 undi setelah menewaskan tiga calon lain iaitu Hasnoor Sdg Husin daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Al Afiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid (Bebas).

Untuk rekod, Adly pernah mentadbir Melaka susulan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 dengan menumbangkan BN buat kali pertama sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Adly yang juga lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan elektrik menewaskan dua pencabarnya, Yunus Hitam mewakili BN dan Muhamat Bedol dari Pas dengan majoriti 3,159 undi bagi kerusi DUN Bukit Katil pada PRU-14.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *