Polis Siasat Kehilangan Abu Mendiang Anita Mui Dari Biara

Mendiang Anita Mui meninggal dunia akibat kanser serviks pada usia 40 tahun pada 30 Disember 2003. Foto AFP
HONG KONG, 14 Okt – Abu mendiang bintang pop terkenal Anita Mui yang terkenal dengan jolokan “Madonna Asia”, dilaporkan hilang dari sebuah biara di Hong Kong, menurut polis tempatan.
Penyanyi legenda Cantopop itu meninggal dunia akibat kanser serviks pada usia 40 tahun pada 30 Disember 2003.
Keluarga Mui sudah membuat laporan polis pada Julai lalu selepas seorang peminat menyedari tempayan abu mendiang itu sudah tiada di tempat asalnya, namun perkara tersebut tidak didedahkan kepada umum ketika itu.

Lantaran itu, pada Sabtu lalu, keluarga beliau mengeluarkan kenyataan bahawa kelewatan dalam siasatan polis telah menyebabkan mereka mengalami “tekanan dan penderitaan emosi yang amat besar”.
Kenyataan yang dikeluarkan pada tarikh hari lahir Mui, mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminatnya.
“Saya benar-benar marah, dan berasa sangat sedih serta hancur hati,” kata seorang peminat menerusi media sosial pada halaman khusus untuk Mui.
Polis Hong Kong dalam kenyataan kepada AFP berkata, kes itu telah dirujuk kepada Unit Jenayah Daerah New Territories Selatan untuk siasatan lanjut.
“Tiada tangkapan dibuat setakat ini. Polis akan terus berhubung dengan pengadu dan pihak berkaitan serta mengambil tindakan susulan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Kehilangan abu orang yang meninggal dunia bukan kejadian pertama seumpamanya di Hong Kong.
Tahun lalu, abu bintang seni bela diri dan pengarah Hong Kong, Lau Kar-leung, turut dilaporkan hilang dan keluarganya dipercayai menjadi mangsa ugutan pemerasan.
Tetapi abu mendiang itu ditemukan semula beberapa bulan kemudian. – Agensi
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


