Polis Marin Rampas 11 Tan Spesis Hidupan Laut Terancam Bernilai RM5 Juta

Ratusan guni mengandungi daging penyu kering, kerang dan spesis marin terancam yang dirampas PPM di perairan Kudat pada Rabu. Foto PPM

KUDAT, 30 Nov – Pasukan Polis Marin (PPM) merampas pelbagai bahagian penyu yang sudah dikeringkan dan spesis hidupan laut terancam bernilai lebih RM5 Juta.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, kesemua rampasan itu ditemukan di atas sebuah bot jenis bubu ikan di kawasan laut Mangsee Reef, pada jam 11.15 pagi semalam.

“Semasa menjalankan rondaan dalam penugasan Op Taring Gelora di kawasan perairan daerah berkenaan, terdapat sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, bot berkenaan membelok dan memecut ke arah kawasan cetek di Mangsee Reef.

“Ketika bot berhenti sepenuhnya, kelihatan empat lelaki dewasa melompat keluar dari kapal dan berenang ke arah kawasan cetek untuk melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, pada masa sama, sebuah bot pam menghampiri empat lelaki terbabit dipercayai sebahagian daripada kumpulan mereka berhampiran lokasi kejadian.

Ahmad berkata, bot pam itu dilihat membawa empat lelaki terbabit menuju ke arah perairan sempadan antarabangsa Malaysia – Filipina melalui kawasan Terumbu Mangsee yang cetek.

“Bot pasukan PPM tidak dapat mengejar kerana laluan itu agak cetek. Pasukan operasi kemudian menghampiri bot yang ditinggalkan untuk pemeriksaan.

Ratusan guni mengandungi daging penyu kering, kerang dan spesis marin terancam yang dirampas PPM di perairan Kudat pada Rabu. Foto PPM

“Pemeriksaan awal menemukan banyak guni yang mengandungi pelbagai bahagian penyu yang sudah dikeringkan,” katanya.

Menurutnya, bot dan semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lebih lanjut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dimuatkan dengan pelbagai spesis hidupan hidupan laut yang sudah dikeringkan.

“Antaranya pelbagai daging penyu seberat sembilan tan, kulit kerang dan siput pelbagai spesis seberat dua tan, 90 kilogram balat susu 150 kilogram kuda laut, rumpai laut seberat 80 kilogram.

“Turut ditemukan lima kilogram sirip yu, 200 kilogram kerapu yang semua dikeringkan dan juga dirampas ikan basah pelbagai jenis serta sarang burung walit dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM5 juta,” katanya.

Katanya, bot dan semua barangan dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *