Polis Buru Suspek Curi Pakaian Dalam Wanita

Polis sedang memburu suspek yang mencuri pakaian dalam wanita di Balik Pulau. Foto tangkap layar

BALIK PULAU, 15 Mei – Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung seorang lelaki mencuri pakaian dalam wanita di Titi Teras, di sini supaya hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi, 12 Mei lalu.

Katanya, menurut laporan tersebut, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Solok Titi Teras 1, Taman Titi Height.

Polis sedang memburu suspek yang mencuri pakaian dalam wanita di Balik Pulau. Foto tangkap layar

“Berdasarkan laporan yang diterima, wanita berkenaan telah menyedari pakaian dalam kepunyaannya yang disidai di ampaian di hadapan rumahnya telah hilang.

“Wanita itu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya. Di dalam rakaman tersebut, kelihatan seorang lelaki tidak dikenali telah mengambil pakaian dalam miliknya di ampaian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Kamarul menambah, suspek kemudiannya beredar dari rumah wanita berkenaan dengan menunggang motosikal.

“Sehubungan itu, kita memohon orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes ini supaya tampil di mana-mana balai polis untuk menyalurkan maklumat kepada polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular satu klip video berdurasi 60 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki yang menunggang motosikal telah memanjat pagar sebuah rumah lalu mencuri pakaian dalam wanita yang disidai di ampaian.

Suspek yang memakai topi keledar kemudiannya bergegas meninggalkan rumah berkenaan dengan menunggang motosikalnya.

  • Oleh Syaratudulhuda Mohd Rosli


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *