PMQT: PM Anwar Jamin Siasatan Projek Paip Gas Sabah, MPP Masih Diteruskan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 3 November 2026. Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, proses siasatan membabitkan Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (Trans Sabah Gas Pipeline – TSGP) dan Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (Multipurpose Product Pipeline – MPP) bernilai RM9.4 bilion berdepan kesukaran dalam mendapatkan maklumat kerana melibatkan entiti dua negara.
Ketika menjelaskan isu berkenaan semasa Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri menjelaskan, siasatan terhadap dua projek saluran paip yang dibatalkan itu masih diteruskan susulan penemuan unsur penyelewengan berdasarkan laporan siasatan yang diterima kerajaan setakat ini.
“Kes ini belum ditutup. Apabila siasatan membabitkan dua negara, terdapat juga maklumat yang masih belum dapat kita peroleh setakat ini. Diharapkan kita dapat meneruskannya,” katanya.

Menjawab soalan asal Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai mengapa dua projek berkenaan yang telah dibayar 88 peratus atau bersamaan dgn nilai RM8.3 bilion walaupun kemajuan kerja hanya 13 peratus telah dilaksanakan serta langkah-langkah kerajaan untuk mendapatkan semula wang yang telah dibayar sedangkan kerja belum disiapkan.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut berdepan kesukaran dalam menjalankan siasatan, namun siasatan masih diteruskan walaupun berdepan kekangan maklumat melibatkan negara asing.

Anwar turut bersetuju dengan Jonathan yang mempersoalkan kaedah pembayaran kontrak asal yang ditetapkan mengikut jadual tetap dan bukannya berdasarkan kemajuan pembinaan projek.
“Kedua-dua kontrak itu diberikan menerusi rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada November 2016.
“Menjelang 2018, sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak sudah dibayar walaupun kemajuan pembinaan dilaporkan hanya sekitar 13 peratus.

“Jika pembayaran perlu dibuat pada Disember, ia tetap dibayar walaupun projek belum menunjukkan kemajuan. Saya tidak memahami kaedah itu, tetapi begitulah pembayaran diluluskan,” katanya.
Projek TSGP bernilai RM4.06 bilion dirancang menghubungkan Kimanis dengan Sandakan dan Tawau di Sabah, manakala MPP bernilai RM5.35 bilion sepatutnya menghubungkan Melaka dan Port Dickson dengan Jitra, Kedah.
Untuk rekod, kedua-dua projek itu diuruskan oleh Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
TSGP dicadangkan pada 2016 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Najib Razak bagi membekalkan gas dari pantai barat untuk menjana sebuah loji janakuasa gas yang dirancang di pantai timur Sabah.
Projek itu dibatalkan pada 2018 oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) susulan laporan mengenai bayaran pendahuluan yang tinggi walaupun kemajuan pembinaan masih rendah.
Projek berkenaan kemudian dikatakan antara beberapa projek yang diberikan kepada syarikat China sebagai balasan kepada usaha menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), sebelum dihidupkan semula oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada 2021.
Bagaimanapun, projek itu sekali lagi dibatalkan oleh kerajaan PH-BN ketika ini, berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Ekonomi di Parlimen pada 19 Februari 2025.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

