PMQT: Konsert Siti Nurhaliza Perkasa Kepelbagaian Budaya – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan persembahan konsert Siti Nurhaliza dalam suasana hujan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kekaguman beliau dengan persembahan hebat pada konsert Biduanita Negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza Tarudin yang mengangkat dan memperkasa kepelbagaian budaya di negara ini.
Mengulas soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini, Perdana Menteri berkata, kehadirannya pada Konsert Tradisional Gema Bumantara itu malam minggu lalu bertujuan menghargai lantunan lagu etnik kreatif yang dipersembahkan.

Kehadiran beliau juga bagi memenuhi jemputan Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa bagi menyertai kira-kira 73,000 peminat penghibur nombor satu negara itu.
“Saya hadir juga walaupun lambat sedikit, tetapi kerana ini, saya ditegur beberapa rakan, terima kasih kepada yang menegur. Saya ini ada kelemahan, saya minat juga lagu, bukan sahaja Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat.

“Pertunjukan berkenaan, Tan Sri Yang Dipertua (Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul) nampak begitu tekun mendengar, memperkasa budaya Melayu, ada wayang kulit, tarian tradisional, pertunjukan Sabah dan Sarawak.
“Semuanya (persembahan konsert Siti Nurhaliza) memberikan kebanggaan terhadap kekuatan warisan, lagu klasik dan budaya Melayu,” katanya yang jelas teruja dengan kemeriahan membudayakan warisan seni kebangsaan.

Konsert Tradisional Gema Bumantara anjuran SN Legacy yang berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya menarik kehadiran 73,000 penonton walaupun berlangsung dalam suasana hujan.
Ia turut menyaksikan Noraniza Idris kembali berduet dengan Siti Nurhaliza, selepas lebih dua dekad tidak berkongsi pentas menerusi lagu duet mereka, Hati Kama.

Selain Anwar, turut hadir memberi sokongan ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Anwar turut berharap agar lebih banyak persembahan sebegini dapat diadakan bagi memartabatkan warisan dan budaya citra Malaysia.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
