PM Singapura Utus Takziah, Hargai Kehidupan, Legasi Luar Biasa Tun Dr Hasmah

PM Singapura Utus Takziah, Hargai Kehidupan, Legasi Luar Biasa Tun Dr Hasmah

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong memberi penghormatan kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah pada 28 September 2026. Foto Facebook Lawrence Wong

SINGAPURA, 28 Sep – Pemergian Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali bukan sahaja diratapi dan dirasai dalam negara, bahkan turut menerima utusan takziah pemimpin luar negara.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong memberi penghormatan kepada Allahyarham dengan mengenang doktor perintis itu atas sumbangannya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial yang menyentuh kehidupan generasi rakyat Malaysia.

PM Wong menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga, beliau berkata, Dr Hasmah menjalani kehidupan yang luar biasa.

“Sebagai perintis dalam bidangnya, beliau memberikan sumbangan penting kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan sosial di Malaysia. Sumbangan beliau menyentuh kehidupan generasi rakyat Malaysia.

“Selain sumbangannya kepada masyarakat, beliau akan dikenang kerana sifat mesra, anggun dan semangatnya dalam menjalani kehidupan. Beliau membawa kemesraan dan semangat dalam segala yang dilakukannya dan akan sentiasa dikenang dengan penuh kasih oleh semua yang mengenalinya,” katanya.

Turut menyampaikan ucapan takziah ialah Menteri Kanan, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching yang menzahirkan rasa dukacita dan bersedih atas pemergian insan yang banyak menabur jasanya kepada Malaysia.

Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada jam 6.20 petang tadi, yang turut dihadiri Dr Mahathir, anak-anak serta anggota keluarga selain ratusan rakyat berbilang kaum memberi penghormatan terakhir.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web