PM Singapura Tiba Di Malaysia, Bakal Bertemu PM Anwar

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan isteri Loo Tze Lui tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dari Brunei jam 8.50 malam tadi dan dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 11 Jun – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong memulakan lawatan kerja ke Malaysia pada 11 dan 12 Jun 2024.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selaku Perdana Menteri Singapura, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Pesawat beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam 8.50 malam tadi setelah mengakhiri lawatan kerja ke Brunei dan disambut Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia Vanu Gopala Menon.

Beliau bersama isteri Loo Tze Lui diiringi Menteri Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Komunikasi, Informasi dan Kesihatan Rahayu Mahzam.

Dalam rangka lawatan itu, Wong dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha-usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin akan mengadakan satu sesi sidang akhbar bersama, menurut kenyataan itu.

Selain itu, Wong juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Lawatan kerja ini menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk mengeratkan lagi hubungan yang telah lama terjalin serta sebagai persediaan untuk Sesi Permukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada akhir tahun ini,” menurut Wisma Putra.

Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (US$79.60 bilion).

Lawrence dilantik perdana menteri keempat republik itu setelah mengangkat sumpah jawatan pada 15 Mei lalu menggantikan Lee Hsien Loong yang berundur setelah mengemudi negara itu hampir 20 tahun.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *