PM Singapura Mulakan Lawatan Ke Brunei, Malaysia Pada 11 Dan 12 Jun

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, akan memulakan siri lawatan pengenalannya bermula dengan Brunei dan Malaysia, dari 11 hingga 12 Jun ini. Foto Facebook Lawrence Wong

SINGAPURA, 10 Jun – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, akan memulakan siri lawatan pengenalannya ke ibu kota Asia Tenggara, bermula dengan Brunei dan Malaysia, dari 11 hingga 12 Jun ini.

Ini adalah lawatan luar negara pertamanya sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei dan Wong akan berlepas ke Bandar Seri Begawan pada 11 Jun sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa lawatan berkenaan adalah masing-masing atas jemputan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Brunei, Wong yang juga Menteri Kewangan dan delegasinya akan menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Wong dan delegasinya juga akan menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Sultan Brunei.

Wong dan delegasinya juga akan menghadap Putera Mahkota Brunei dan Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Wong akan diiringi isteri, Loo Tze Lui, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Kemampanan dan Sekitaran serta Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, serta Menteri Negara bagi Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam.

Perdana Menteri kemudian akan meneruskan perjalanan ke Malaysia pada petang 11 Jun, dan beliau akan bertemu dengan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, serta pemimpin-pemimpin Malaysia yang lain.

Sepanjang lawatannya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong akan memangku jawatan perdana menteri.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *